PUCHONG – Akibat terpedaya dengan tawaran pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan pulangan menarik, 10 individu kini terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian dianggarkan lebih RM3 juta.
Kesemua mangsa berusia antara antara 40 tahun hingga 60 tahun itu diperdaya menerusi iklan di media sosial pada Julai lalu kononnya membabitkan syarikat pelaburan berpangkalan di United Kingdom (UK).
Seorang mangsa, Ken Wong (bukan nama sebenar) berkata, dia menekan pautan di laman sosial berkenaan untuk mengetahui maklumat lanjut.
“Saya kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan yang mana diberi penerangan mengenai cara untuk melabur.
“Kami dijanjikan pulangan antara enam peratus hingga 10 peratus daripada jumlah pelaburan,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad lalu.
Terpedaya ‘janji’ pulangan jutaan ringgit
Wong berkata, dia tertarik dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan jutaan ringgit lalu melakukan 23 transaksi pembayaran ke dua akaun syarikat sendirian berhad dalam tempoh dua bulan bermula Julai.
Katanya, walaupun berpengalaman dalam bidang kewangan, modus operandi licik syarikat itu menggunakan platform pelaburan dan aplikasi berdaftar dengan Google Play Store menyebabkan beliau dan rakan-rakannya tertipu.
“Bermula daripada Facebook, menggunakan nama syarikat Pantheon Ventures, mereka akan masukkan (mangsa) ke dalam kumpulan sembang Whatsapp Group, di mana mangsa akan diajar selok-belok ilmu dagangan saham,” katanya.
Read More: Hampir 100 mangsa skim penipuan pelaburan kerugian lebih RM5 juta
Menjelas lanjut katanya, dia mula curiga dengan kegiatan syarikat pelaburan itu selepas diminta membayar tambahan RM1.7 juta sebagai langganan Infrastructure Processing Unit (IPU) untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan.
Susulan itu, beliau bersama rakan lain membuat laporan polis pada Ogos, namun mendakwa tiada tindakan lanjut sehingga kini.
Wong mendakwa, dia turut melaporkan penipuan syarikat itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), namun tiada tindakan susulan.
“Kami pelik bagaimana syarikat sendirian berhad yang berdaftar dengan SSM boleh menjadi akaun keldai dan mengapa sehingga kini akaun syarikat ini masih aktif?” soalnya.
Tiada tindakan pihak berkuasa
Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPIN) Joseph Prakash mempersoalkan kebebasan skim penipuan dalam talian itu beroperasi di media sosial.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis menyiasat aduan mangsa-mangsa yang sehingga kini masih berharap wang mereka dapat dikembalikan.
“Kami minta agar ‘scammer’ yang sedang berleluasa di media sosial ini disekat terus,” katanya.