ALOR SETAR, 18 April 2026 – Langkah Kerajaan Negeri Kedah untuk menyelaraskan pengurusan kewangan negeri dengan dasar penjimatan Kerajaan Persekutuan dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap model tadbir urus berhemah yang diperkenalkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kedah, Tunku Nashrul Abaidah menyifatkan kesediaan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk mengikut jejak langkah tersebut sebagai satu perkembangan positif, meskipun ia dianggap sedikit terlewat.
Keperluan disiplin fiskal
Menurut beliau, tindakan tersebut membuktikan bahawa pendekatan yang digariskan oleh Kerajaan MADANI dalam menghadapi tekanan kos sara hidup dan krisis tenaga global bukanlah sekadar retorik politik, sebaliknya merupakan satu keperluan mendesak bagi kestabilan ekonomi.
“Langkah ini, walaupun lewat, tetap dialu-alukan. Ia secara tidak langsung mengakui bahawa pendekatan matang dan berpaksikan realiti yang diamalkan di peringkat Persekutuan adalah langkah paling praktikal buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Henti politik populis
Tunku Nashrul turut menegaskan bahawa dalam mendepani krisis ekonomi yang kompleks, kerajaan negeri seharusnya beralih daripada politik sensasi dan kenyataan bersifat populis kepada penyelesaian yang lebih bertanggungjawab.
Beliau turut menarik perhatian terhadap perubahan pendirian pihak kepimpinan negeri yang sebelum ini pernah mempersoalkan pendekatan fiskal Kerajaan Persekutuan, namun kini memilih untuk menggunakan sandaran yang sama.
“Barangkali selepas penganjuran rumah terbuka Aidilfitri berskala besar sebelum ini, akhirnya muncul kesedaran bahawa disiplin fiskal bukan lagi satu pilihan tetapi satu kewajipan demi kelangsungan rakyat,” tambah beliau.


