Di sebalik kemewahan dan kejayaan empayar perniagaan mereka, Wawa Cosmetics, pasangan usahawan terkenal, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, mengakui bahawa definisi kebahagiaan mereka kini telah berubah.
Jika dahulu material menjadi buruan, kini misi utama mereka adalah memberikan manfaat semula kepada masyarakat melalui zakat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Zakat meningkat, tanda syukur buat penyokong
Wawa berkongsi bahawa impian terbesarnya setiap tahun adalah untuk memastikan jumlah bayaran zakat perniagaan mereka terus meningkat.

Baginya, itu adalah cara terbaik untuk mengembalikan hak kepada golongan yang layak, memandangkan majoriti penyokong bisnes mereka adalah orang Muslim.
“Kalau kita kejar dunia, ia memang takkan pernah habis. Kita sendiri yang kena berhenti. Saya dan Aeril dah rasa semuanya, kenderaan, kemewahan, jadi sekarang kami tak mahu lagi mengejar perkara itu.
Setelah tiga tahun mengekalkan jumlah zakat yang konsisten, pasangan ini menyasarkan angka yang lebih tinggi pada tahun hadapan seiring dengan peningkatan prestasi perniagaan mereka.

Wawa dan Aeril ditemui selepas Majlis ulang tahun kelahiran Wawa yang ke-34 diikuti majlis berbuka puasa dan sumbangan anak yatim dan asnaf di Kajang, baru-baru ini.
Tidak rancang tambah anak
Namun, di sebalik angka jualan jutaan ringgit, tersimpan satu pengorbanan besar yang jarang dilihat orang luar iaitu masa bersama anak-anak.

Wawa mendedahkan betapa luluh hatinya apabila kesibukan jadual kerja, terutama komitmen sesi Live yang padat, membuatkan hubungan dengan anak-anak sedikit terkesan.
Wawa turut menceritakan momen sayu apabila anaknya terjaga jam 3 pagi dan terus mencari mereka di bilik kerana terlalu rindu.
“Kadang-kadang baru jumpa 5 minit, saya dah kena bersiap semula. Anak tanya, ‘Mama nak pergi mana lagi?’. Itulah dilema yang membuatkan saya rasa bersalah sangat,” tambahnya lagi.
Wawa
“Ini juga menjadi punca utama mengapa Wawa belum bersedia untuk menambah cahaya mata buat masa ini. Wawa nak fokus dengan anak-anak sebab masa Wawa sangat kurang dengan mereka ketika ini sebab terlalu sibuk dengan urusan perniagaan.
Kembali aktif CSR, tebus masa keluarga
Bagi mengubati rasa bersalah tersebut, Wawa dan Aeril merancang untuk membawa anak-anak bercuti selepas musim raya ini sebagai tanda ‘menebus’ waktu yang hilang.

Selain fokus pada keluarga, mereka juga bakal kembali aktif dalam program CSR. Selepas kejayaan membina masjid sebelum ini, pasangan ini memberi bayangan akan ada projek sumbangan baharu yang bakal menyusul tidak lama lagi.
Meskipun sibuk, Wawa menarik nafas lega kerana anak-anaknya masih dipantau oleh ahli keluarga sendiri termasuk ibunya, dan bukan ditinggalkan sepenuhnya di bawah jagaan pengasuh.
Kisah Wawa dan Aeril membuktikan bahawa kejayaan sebenar bukanlah pada apa yang kita kumpul, tetapi pada apa yang kita beri dan bagaimana kita menghargai insan tersayang.


