PUTRAJAYA, 18 Mac 2026 – Festival Gema Raya Putrajaya 2026 terus membuktikan penangannya sebagai destinasi tumpuan Ramadan apabila mencatatkan nilai jualan luar biasa mencecah RM1.1 juta setakat 13 Mac lalu.
Penganjur menjangkakan angka tersebut akan melonjak sehingga RM2.5 juta menjelang tirai program dilabuhkan, esok.
Kemeriahan festival yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ini semakin terasa dengan penganjuran sesi khas “Jualan Happy Hour Kombo Agro MADANI”.

Slot istimewa ini menyaksikan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pulse Group, wakil Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), serta rakan penaja strategik, Lotus’s Malaysia, yang turun padang menyantuni pengunjung baru-baru ini.
Sinergi Usahawan dan Keprihatinan Korporat
Program Jualan Happy Hour tersebut menjadi antara daya tarikan utama apabila menawarkan pelbagai produk makanan dan barangan agro tempatan pada harga yang jauh lebih berpatutan.

Ketua Pembangunan Perniagaan Kumpulan, Pulse Group, Fahizee Mustafa
Inisiatif ini bukan sahaja menguntungkan pengguna, malah menjadi pemangkin dalam mempromosikan produk usahawan tempatan yang berkampung di festival ini.
Selain aspek komersial, Gema Raya Putrajaya turut mempamerkan sisi murni melalui penyerahan Bakul Makanan Lotus’s kepada 50 pengunjung terpilih.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini bertujuan meringankan beban serta menyebarkan keceriaan buat komuniti sempena bulan Ramadan yang mulia.
Platform Strategik Edisi Sulung
Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal, menjelaskan bahawa Gema Raya Putrajaya 2026 merupakan edisi sulung yang dianjurkan pihaknya dengan sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Keterjaminan Makanan melalui FAMA.
Gema Raya Putrajaya diwujudkan sebagai platform yang menghimpunkan elemen keusahawanan, makanan, seni budaya, dan komuniti dalam satu festival yang meriah.
“Sokongan rakan strategik memberi keyakinan kepada kami untuk menjadikan acara ini sebagai kalendar tahunan yang mampu memberi impak besar kepada ekonomi usahawan tempatan,” ujar beliau.
Senada dengan itu, CEO Pulse Group menyifatkan kerjasama ini sebagai langkah memperkukuh Putrajaya sebagai destinasi penganjuran acara utama negara. Penggunaan PICC sebagai lokasi rasmi menawarkan keselesaan bagi festival berskala besar yang mampu menarik pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.
300 Usahawan, 33 Hari Kemeriahan
Berlangsung selama 33 hari (15 Februari hingga 19 Mac 2026), festival ini menghimpunkan seramai 300 usahawan tempatan.

Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai keperluan Aidilfitri termasuk makanan dan minuman (F&B) serta produk agro, pakaian Raya dan aksesori moden serta kuih-muih tradisional dan barangan keperluan Syawal.
Bagi menambah debaran, pengunjung juga berpeluang membawa pulang hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah Proton e.MAS 7 Prime (EV) yang ditawarkan sepanjang tempoh festival.
Wakil Lotus’s Malaysia turut menambah bahawa penyertaan mereka adalah komitmen berterusan untuk menyokong masyarakat melalui aktiviti interaktif dan pemberian bantuan, sekali gus berkongsi keberkatan Ramadan bersama semua yang hadir.
Dengan gabungan elemen ekonomi dan kemasyarakatan, Gema Raya Putrajaya 2026 diharap terus mengangkat martabat Putrajaya sebagai hab pelancongan Ramadan dan Syawal yang berimpak tinggi buat negara.


