KUALA LUMPUR, 16 Mac 2026 – Syarikat perunding kewangan, LM Tree Corporate Sdn Bhd, meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati, baru-baru ini.
Program yang berlangsung dalam suasana penuh kehangatan itu bertujuan menyantuni golongan kurang bernasib baik selain mengeratkan hubungan antara pihak korporat dan komuniti setempat.
Mewujudkan Suasana Kekeluargaan
Pengarah Eksekutif LM Tree Corporate Sdn Bhd, Muhammad Sufian Aziz, berkata majlis berkenaan bukan sekadar sesi berbuka puasa, malah bermatlamat memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim agar mereka turut merasai kemeriahan Ramadan serta persiapan menjelang Aidilfitri.
“Alhamdulillah, program hari ini adalah salah satu inisiatif CSR kami. Selain beriftar, kami mahu mewujudkan suasana kekeluargaan dan mengeratkan ukhuwah bersama anak-anak ini.
Muhammad Sufian Aziz
Seramai 56 anak yatim diraikan dalam majlis berkenaan. Menurut Sufian, program ini merupakan aktiviti CSR kedua syarikat bagi tahun ini, selepas sebelum ini menjalinkan kerjasama dengan pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kolaborasi Strategik Bersama Jakel & Giant
Majlis tersebut turut dijayakan melalui kolaborasi strategik bersama gedung tekstil terkemuka, Jakel, serta pasar raya Giant. Inisiatif ini juga mendapat sokongan daripada beberapa pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta individu yang menyumbang pelbagai barangan keperluan.

“Menjelang Hari Raya, perkara yang sering menjadi perhatian adalah pakaian baharu dan barangan dapur. Melalui kerjasama ini, Jakel membantu menyediakan pilihan pakaian raya buat anak-anak yatim, manakala Giant serta penyumbang lain menyumbangkan barangan dapur dan keperluan harian,” tambah beliau.

Meskipun LM Tree Corporate bukan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sufian menegaskan pihaknya tetap komited untuk melaksanakan program CSR setiap tahun bagi membantu golongan yang memerlukan.
Nasihat Kewangan Menjelang Aidilfitri
Sebagai syarikat perunding kewangan yang beroperasi sejak 2016, LM Tree Corporate terus komited memberikan khidmat nasihat pengurusan kewangan yang teratur kepada pelanggan, termasuk penyusunan semula dan penggabungan hutang demi masa depan yang lebih stabil.
Dalam kemeriahan persiapan raya, Sufian turut menitipkan pesanan agar masyarakat berbelanja secara berhemah bagi mengelakkan bebanan kewangan selepas musim perayaan.
“Kita semua mahu menyambut raya dengan meriah, tetapi biarlah berpada-pada. Jangan sampai selepas raya kita terpaksa menanggung beban kewangan yang akhirnya menyusahkan diri sendiri,” pesannya.
Melangkah ke hadapan, LM Tree Corporate merancang untuk mempelbagai aktiviti CSR lain termasuk program bersama sekolah dan kelab sukan sebagai usaha berterusan menyumbang bakti kepada masyarakat.


