Menjelang Aidilfitri, iklan raya sering menjadi antara elemen yang paling dinantikan selain juadah tradisi dan baju baharu. Tahun ini, D’Herbs tampil dengan kelainan menerusi brand film terbaharu bertajuk “Ya, Abah Saya Security”.
Bukan sekadar promosi komersial, karya ini merupakan sebuah penghormatan kepada pengorbanan seorang bapa yang cekal mencari rezeki di sebalik uniform pengawal keselamatan.
Kisah realiti di sebalik uniform
Diterbitkan dengan kerjasama Tangerine Pictures dan mendapat sentuhan pengarah Bobby Husaini, filem pendek ini mengangkat darjat pekerjaan yang sering dipandang remeh oleh masyarakat.
Ia menyelami sisi manusiawi seorang bapa yang meletakkan maruah dan dedikasi sebagai asas demi menjamin masa depan anak-anak.

Menurut pengasas D’Herbs, Dato’ Aliff Syukri, beliau mahu naskhah kali ini membawa mesej yang lebih mendalam dan menyentuh realiti sebenar kehidupan.
“Setiap tahun kita disajikan dengan pelbagai iklan raya, namun saya mahukan sesuatu yang benar-benar ‘dekat’ dengan hati masyarakat.
“Kisah ini adalah refleksi perjuangan ramai ketua keluarga di luar sana,” jelas beliau.
Hargai setiap titik peluh
Dato’ Aliff turut menekankan kepentingan mengubah perspektif masyarakat terhadap pekerjaan sektor sokongan yang sering dipandang ringan, kerana setiap kerja mempunyai nilai tersendiri, terutama apabila ia dilakukan demi keluarga.
Beliau mengingatkan bahawa nilai seseorang bukan terletak pada jenis pekerjaan, tetapi pada niat dan tanggungjawab yang dipikul.

“Kadang-kadang kita terlalu cepat menilai pekerjaan orang lain. Sebenarnya, di sebalik uniform seorang pengawal keselamatan, ada seorang bapa yang gigih berjuang untuk masa depan anaknya,” tambahnya lagi.
Lakonan berjiwa Azhan Rani
Kekuatan emosi filem ini disandarkan kepada pelakon berkaliber, Azhan Rani. Memegang watak utama sebagai seorang lelaki sederhana, Azhan berjaya menterjemahkan kasih sayang tanpa syarat seorang bapa ke layar skrin.
Azhan mengakui bahawa watak tersebut memberi impak emosi yang mendalam sepanjang penggambaran kerana kisahnya dekat dengan kehidupan sebenar masyarakat.
“Watak ini sangat dekat dengan realiti. Ia bukan hanya tentang kerjaya sebagai pengawal keselamatan, tetapi tentang jiwa seorang bapa yang berkorban tanpa mengharapkan sebarang balasan,” kongsi Azhan mengenai pengalamannya.
Pengarah Bobby Husaini pula menegaskan bahawa kekuatan utama naskhah ini terletak pada kejujuran penceritaannya.
Menurutnya, pendekatan yang ringkas namun sarat emosi membuatkan filem pendek ini mampu menyentuh hati penonton tanpa memerlukan dramatik berlebihan.
Selain Azhan Rani, filem ini turut dibintangi oleh Mikael Noah, Niezam Zaidi, dan Megat Sharizal, yang masing-masing memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan naratif keseluruhan.
Info tayangan
Bagi anda yang ingin menyaksikan sendiri kehebatan naratif ini, “Ya, Abah Saya Security” sudah menemui penonton di platform media sosial bermula 12 Mac ini.
Melalui naskhah ini, D’Herbs bukan sahaja meneruskan tradisi iklan raya yang menyentuh emosi, malah berjaya membuka ruang untuk kita lebih menghargai pengorbanan insan bergelar ibu bapa dalam membina institusi keluarga yang utuh.


