Siapa sangka, di sebalik wajah polos dan tawa kecilnya, Rayyan Wafiy Anis – atau mesra dipanggil Ryan – punya jiwa sekeras stereng go-kart yang digenggamnya di litar.
Usianya baru 12 tahun, tapi semangat dan gayanya ketika berlumba tidak ubah seperti seorang pelumba profesional.
“Saya tak pandai naik basikal… dua tayar susah nak imbang. Tapi go-kart ada empat tayar, terus boleh jalan!” katanya sambil tergelak kecil, ketika ditemui selepas sesi latihan di litar perlumbaan.


Ironinya, anak muda yang tidak tahu mengayuh basikal ini, kini ligat mencabar kelajuan di litar Asia.
Ryan mula mengenali dunia go-kart sejak umur sembilan tahun. Sekali cuba, terus jatuh cinta. Katanya, perasaan ketika berlumba penuh tekanan, tapi dalam masa yang sama mengujakan – dan kini dia sudah “ketagih” dengan rasa itu.
“Kalau ada orang potong, saya mesti nak potong balik. Saya suka cabar diri, tambah baik masa dan posisi setiap kali.”

Pernah terbabit dalam insiden pelanggaran, tetapi langsung tidak trauma. “Saya tak takut pun, cuma marah… sebab yang langgar saya tu teammate sendiri,” katanya bersahaja.
Bagi Ryan, pelumba cilik Conrad Garrow jadi inspirasinya – laju, tegas dan penuh keyakinan. “Saya nak jadi macam dia, tiada belas kasihan atas trek.”
Kini beraksi dalam siri INF1NIT Y IAME Series Asia 2025, Ryan meletakkan sasaran tinggi – mahu tembus kelompok lima terbaik sama ada di Asia atau Eropah.
Thailand jadi destinasi seterusnya Julai ini, dan siapa tahu, pelumba yang tak tahu naik basikal ini bakal jadi juara dunia suatu hari nanti.


