KUALA LUMPUR, 18 Julai 2025 – Harapan kira-kira 50 pelabur untuk menjana pulangan lumayan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila pelaburan mereka dianggarkan berjumlah hampir RM15 juta didakwa gagal dipulangkan oleh syarikat pelaburan, Alpha Capital (M) Berhad.
Insiden yang berlaku sejak 2023 itu kini memasuki fasa baharu apabila tindakan undang-undang difailkan demi menuntut keadilan dan pemulangan semula dana pelabur.
Firma guaman Tetuan Hisyam Yunus & Co yang mewakili kumpulan pelabur tersebut telah memfailkan Petisyen Penggulungan Syarikat (Winding Up) terhadap Alpha Capital di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Langkah ini bertujuan membuka jalan kepada proses likuidasi bagi meneliti semula aset, akaun serta transaksi syarikat dalam usaha mendapatkan semula dana yang telah ‘hilang’.
Menurut peguamcara pempetisyen, Tuan Muhammad Hisyam Md Yunus, tindakan tegas ini diambil setelah syarikat berkenaan gagal melunaskan bayaran pulangan pelaburan seperti dijanjikan, malah turut melanggar perintah injunksi Mareva yang dikeluarkan mahkamah pada September 2024.

“Alpha Capital bukan sahaja mungkir janji, tetapi turut melanggar perintah mahkamah. Penggulungan ini adalah langkah paling wajar bagi membela pelabur dan menyemak kembali semua transaksi termasuk pengurusan akaun oleh pengarah syarikat,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Tetuan Hisyam Yunus & Co.
Pelabur mendakwa mereka dijanjikan pulangan tetap sehingga 5% sebulan, namun selepas beberapa bulan, bayaran mula terhenti.
Syarikat kemudiannya memberi pelbagai alasan, termasuk kelewatan operasi dan isu teknikal, sebelum akhirnya tidak memberikan sebarang maklum balas lanjut.
Pesara, warga emas antara mangsa
Sementara itu, dua pelabur yang masing-masing merupakan pesara tampil bersuara kepada media berkongsi pengalaman pahit mereka sebagai mangsa pelaburan.

Salah seorang daripada mereka memaklumkan bahawa beliau mengalami kerugian sehingga RM1 juta, hasil wang saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta simpanan yang dikumpul sepanjang hayat.
Katanya, selepas beberapa bulan syarikat hanya membayar 20 peratus modal pelaburan, bukan dividen seperti yang dijanjikan dengan pelbagai alasan termasuk perniagaan tidak menguntungkan.
Rakannya, Anita (bukan nama sebenar) pula mendakwa kehilangan keseluruhan wang simpanan KWSP bernilai lebih RM600,000 yang sepatutnya digunakan untuk yuran pengajian anak-anaknya.
“Saya ingatkan, dengan pelaburan ini dapatlah saya gandakan sedikit wang simpanan KWSP ini untuk kegunaan anak-anak saya menyambung pengajian, sebaliknya selepas hampir setahun, pulangan yang dijanjikan syarikat pelaburan berlalu begitu saja.
MANGSA
“Pelbagai alasan diberikan dan paling menyakitkan hati apabila ramai antara kami yang diberi amaran untuk tidak membawa perkara ini ke pihak berwajib jika mahu wang kami dikembalikan,” katanya.

Tidak tahan dengan alasan tidak munasabah diberikan syarikat tersebut, Anita bersama lebih 50 pelabur lain nekad membawa tuntutan mereka ke muka pengadilan bagi menuntut kembali wang pelaburan mereka.
Perintah injuksi Mareva
Sebelum ini, Pesuruhjaya Kehakiman Yusrin Faidz Yusoff menjatuhkan hukuman terhadap Pengarah syarikat Alpha Capital (M) Berhad, Syed Mahadzir Fadaak Syed Jamil Fadaak dan isterinya yang juga bekas penyanyi, Erna Elliyana Rosli kerana kegagalan mereka mematuhi dua perintah mahkamah bertarikh 5 September dan 22 November tahun lepas.
Bagaimanapun, Yusrin membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara selama dua bulan bermula semalam, bagi memberi masa kepada pasangan itu mematuhi sepenuhnya arahan Mahkamah, dan jika tidak dipatuhi, penjara selama 20 hari bakal dikuatkuasakan.
Selain penjara, mahkamah turut memerintahkan kedua-duanya membayar denda RM10,000 setiap seorang dalam tempoh tujuh hari dan jika gagal mereka akan berdepan tambahan tujuh hari penjara.

Injunksi Mareva ialah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dibuat dalam kes antara plaintif dan defendan.
Pasangan itu dikenakan perintah injunksi Mareva dalam kes saman membabitkan 64 pelabur yang menyaman Alpha Capital kerana melanggar kontrak yang melibatkan jumlah keseluruhan RM19,831,440.50.
Sebelum ini mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama 20 hari dan denda RM10,000 setiap seorang terhadap kedua-dua individu terbabit kerana menghina mahkamah setelah gagal mematuhi dua perintah Mareva yang menghalang pelupusan aset syarikat.
Pelabur tuntut petisyen Penggulungan Syarikat (Winding Up)
“Perintah winding up ini bukan hanya soal penutupan operasi, tetapi satu jalan ke hadapan untuk meneliti semula semua transaksi, audit, dan aset syarikat.
“Ini membolehkan pelabur melihat ke mana wang mereka disalurkan dan membolehkan tindakan undang-undang lanjut diambil jika terdapat unsur penipuan atau penyelewengan.
Muhammad Hisyam
Tetuan Hisyam Yunus & Co turut menekankan bahawa keputusan winding up yang dijangka pada 4 November 2025 bukan sahaja akan memberikan kelegaan kepada para pelabur, malah bakal menjadi precedent penting dalam sistem kehakiman negara bagi melindungi pelabur yang menjadi mangsa penipuan pelaburan korporat.
“Kami berharap mahkamah memberikan keputusan yang berpihak kepada pelabur. Tindakan ini bukan semata-mata bagi mendapatkan kembali wang mereka, tetapi untuk menegakkan akauntabiliti dan ketelusan dalam ekosistem pelaburan negara,” ujar Hisyam.


