KUALA LUMPUR, 15 Ogos – CTOS Data Systems, dengan kerjasama KNKV Group dan Muslim Insiders Chamber of Commerce, menganjurkan National CEO Forum 2025 (NCF2025) menghimpunkan kira-kira 200 ketua pegawai eksekutif (CEO), pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan pembuat dasar.
Forum eksklusif bertema Brand Growth and Focus 2026 ini menjadi platform strategik untuk membincangkan hala tuju dan strategi pembangunan jenama berasaskan data bagi menghadapi cabaran persekitaran perniagaan global yang semakin kompleks, terutama menjelang era 2026 yang dijangka dipacu teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Operasi CTOS Data Systems, Lee Shin Mei, menegaskan bahawa ekuiti jenama adalah antara aset terpenting yang dimiliki sesebuah perniagaan, namun nilainya boleh berubah secara drastik mengikut turun naik pasaran.
“Peranan CTOS adalah membantu pemimpin perniagaan mendapatkan kecerdasan data dan pandangan pasaran yang tepat, supaya mereka dapat melindungi serta mengembangkan nilai jenama.
“Dengan data yang tepat, keputusan perniagaan dapat dibuat lebih pantas dan berasaskan bukti,” katanya.

Beliau menambah, pemahaman mendalam terhadap data pengguna dan trend pasaran membolehkan syarikat merangka strategi komunikasi yang selari dengan nilai teras jenama, sekali gus membina kepercayaan jangka panjang di kalangan pemegang taruh.
Kolaborasi & fokus pasaran kunci kelangsungan
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, Prof. Adj. Hj Adam Richman, pula menekankan bahawa kejayaan perniagaan banyak bergantung kepada rakan niaga yang dipilih, selain strategi menghadapi cabaran kos dan persaingan.
“Perniagaan adalah tentang siapa anda bekerjasama. Persekitaran yang kuat memberi peluang memilih rakan perniagaan dan pelanggan yang tepat untuk mengelakkan masalah kewangan, di samping memperoleh pengetahuan industri yang bermanfaat kepada kerajaan dan pembuat dasar,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa 98 peratus ekonomi negara disumbangkan oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), justeru akses kepada bantuan, kemahiran, dan digitalisasi adalah langkah penting bagi mempercepat pertumbuhan sektor itu.

Menurut Adam, kolaborasi mampu memperkukuh kedudukan jenama di pasaran, mengecilkan persaingan, dan memudahkan pengurusan krisis.
“Bila kita berkongsi sumber dan bergerak secara berjemaah, kita lebih kuat daripada bergerak bersendirian. Program seperti ini membantu usahawan berkolaborasi, menyatukan bekalan, dan memperkukuh daya tahan perniagaan,” jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, Prof. Adj. Hj Adam Richman
Adam turut menyentuh kepentingan membina naratif jenama yang selari dengan aspirasi masyarakat dan negara, bukan sekadar mengejar keuntungan.
“Pelanggan mengingati jenama yang memperjuangkan sesuatu yang bermakna. Jika naratif jenama itu melindungi warisan atau membawa nilai positif kepada masyarakat, ia akan kekal di hati pengguna,” katanya sambil memberi contoh jenama tempatan yang memperjuangkan makanan warisan Malaysia sebagai identiti perniagaan mereka.
Platform networking & perkongsian kepakaran

Forum ini turut dihadiri pelbagai syarikat ternama termasuk Tabung Haji, Tabung Haji Travels, Seri Sutra Travels, Saudi Airlines, Kinohi Mitsu, dan beras Jasmin. Kehadiran mereka membuka peluang jaringan (networking) yang melangkaui sempadan industri dan geografi.
Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Zurainah Musa, berkata NCF2025 menjadi medan terbaik untuk mengenali kekuatan dan kelemahan masing-masing, sekali gus membina kerjasama yang memberi kelebihan kompetitif.
“Bila kita tahu kekuatan dan kelemahan syarikat, kita boleh berkolaborasi dengan pihak yang melengkapi kekurangan kita. Kolaborasi meningkatkan kadar kelangsungan perniagaan, berbeza dengan persaingan yang memaksa kita bertahan sendirian,” ujarnya.
Beliau memberi contoh kejayaan Pulau Pinang sebagai Silicon Valley of the East hasil kerjasama syarikat antarabangsa seperti Intel dan Micron yang membawa pemindahan teknologi, pengetahuan, dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Zurainah yakin usahawan tempatan berpotensi menembusi pasaran global jika berani berkolaborasi dengan syarikat antarabangsa.
“Jika kita hanya beroperasi dalam bidang yang kita tahu tanpa bekerjasama dengan pihak luar, kita akan kekal dalam kepompong ‘homegrown’. Tetapi jika bijak memilih rakan kongsi, kita boleh berkembang dengan pantas di peringkat antarabangsa,” katanya.
KNKV, menurut beliau, mempunyai rekod lebih sedekad dalam memposisikan jenama dan produk di pasaran global dengan pendekatan pantas, patuh syariah, dan beretika.
Arah tuju pasca forum
Selepas NCF2025, penganjur merancang mengadakan siri program susulan untuk memantau perkembangan setiap jenama peserta. Fokus utama adalah memperkukuh kolaborasi rentas industri, membina naratif jenama yang kukuh, dan memastikan usahawan bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital yang dinamik.
“Usahawan tidak perlu diseru untuk hadir ke program seperti ini. Mereka sendiri perlu mencari peluang, menyertai rangkaian, dan aktif dalam komuniti perniagaan untuk terus berkembang,” tegas Adam.
Dengan gabungan kepakaran data, strategi jenama, dan semangat kolaborasi, NCF2025 dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi landskap perniagaan tempatan menjelang 2026.
National CEO Forum 2025 kali ini berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur selaku Venue Partner yang menjadi pentas eksklusif yang menghimpunkan barisan pemimpin industri, tokoh korporat terkemuka, dan pembuat dasar negara dalam satu wacana strategik berimpak tinggi.
Forum berprestij ini, dianjurkan oleh Muslim Insider Chamber of Commerce bersama KNKV Group sebagai penganjur bersama disokong oleh CTOS Data System selaku Rakan Semakan, SIRIM QAS International sebagai Rakan Inovasi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai Rakan Strategik dan firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) sebagai Rakan Guaman Rasmi.


