FGV Holdings Berhad, melalui anak syarikatnya Delima Oil Products Sdn Bhd (DOPSB) dan jenama SAJI, sekali lagi mencuri perhatian apabila berjaya menghimpunkan ratusan peserta dalam penganjuran SAJI Miles for Smiles Fun Run & Walk 2025 baru-baru ini.
Acara yang bertujuan memupuk gaya hidup sihat, menggalakkan interaksi sosial dan mengukuhkan kehadiran jenama SAJI dalam komuniti itu berlangsung dalam suasana meriah penuh kekeluargaan.
Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad, Dato’ Fakhrunniam Othman. Kehadiran kedua-dua tokoh ini menzahirkan komitmen FGV dan jenama SAJI terhadap pembangunan sosial yang melangkaui aktiviti perniagaan semata-mata.

Dengan laluan sejauh lima kilometer yang terbuka kepada semua peringkat umur, acara ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan.
Para peserta memulakan pagi mereka dengan sesi pemanasan badan, sebelum menyusuri laluan yang menyediakan stesen hidrasi di pertengahan trek.

Usai larian, mereka disambut dengan sarapan ringan serta karnival mini yang dihiasi booth jenama FGV dan aktiviti permainan yang menjadikan persekitaran lebih meriah.
Antara yang menarik perhatian ialah cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan, termasuk baucar penginapan dan kit perjalanan daripada Felda Travel.
Seperti kelaziman acara larian, setiap peserta pulang dengan pingat sebagai penghargaan kerana berjaya menamatkan jarak lima kilometer. Namun bagi SAJI, penganjuran ini bukan sekadar acara kecergasan, sebaliknya sebuah platform memperkukuh tanggungjawab sosial korporatnya.
Sumbangan RM15,000 menerusi SAJI Seikhlas Hati
Melalui inisiatif SAJI Seikhlas Hati, sebanyak RM15,000 dalam bentuk wang tunai dan produk jenama SAJI, SERI PELANGI, ADELA dan PREMEO disumbangkan kepada beberapa organisasi kebajikan terpilih, termasuk rumah anak yatim, pusat jagaan warga emas dan pertubuhan pendidikan komuniti.
Sumbangan itu mencerminkan tekad SAJI untuk terus menyuntik keceriaan dan memberikan senyuman kepada mereka yang memerlukan.
Keseronokan para peserta turut diperkayakan dengan pelbagai pemberian daripada rakan penaja.


Antara yang mencuri tumpuan ialah produk FGV seperti SAJI Mi Ayam Kampung dan SAJI Pes Tom Yam yang dimasukkan ke dalam beg sandang peserta, di samping sumbangan daripada rakan strategik seperti CARABAO yang menyediakan minuman tenaga percuma serta SORA dan SUNSHINE yang masing-masing menyumbangkan botol air mineral dan roti pelbagai perisa.
Hospital Pusrawi juga mengambil bahagian melalui pemeriksaan kesihatan percuma untuk para peserta, manakala jenama gaya hidup dan makanan seperti Mokti’s serta Salad Atelier menawarkan baucar istimewa dan kehadiran booth yang menambah kemeriahan acara.



SAJI Miles for Smiles Fun Run & Walk 2025 tidak hanya menjadi satu lagi acara riadah hujung minggu. Ia berkembang menjadi perhimpunan komuniti yang menggabungkan kesihatan, keceriaan dan kebajikan.
Dengan sokongan pelbagai rakan penaja serta penyertaan masyarakat setempat, program ini berjaya mewujudkan sebuah pengalaman positif yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga bermakna, selari dengan misi SAJI untuk terus menabur kebaikan dan memperkukuh silaturahim dalam komuniti.


