KUALA LUMPUR, 28 September – Pencegahan awal dan amalan gaya hidup sihat yang konsisten adalah benteng pertahanan paling kritikal untuk masyarakat mengelak penyakit jantung, yang kekal menjadi pembunuh utama di Malaysia.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Akmal Arief Mohamed Fauz berkata, ramai yang menyedari tentang amalan gaya hidup sihat namun untuk mengamalkannya secara konsisten masih menjadi cabaran buat mereka.
“Kesedaran orang ramai dan amalan gaya hidup sihat amat penting kerana penyakit jantung masih merupakan pembunuh utama di Malaysia dan juga di rantau Asia Tenggara.
“Sebagai sebuah institusi yang berkait rapat dengan jantung, peranan kami bukan sekadar menyediakan rawatan terbaik malah menawarkan aspek pendidikan dan langkah pencegahan dari awal.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Akmal Arief Mohamed Fauz
Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Jantung Sedunia 2025 di The Curve Mutiara Damansara yang bermula dari 24 hingga 28 September 2025.

Lebih 1,000 pengunjung hadir dalam program lima hari itu dengan tema ‘It’s Not Just A Game, It’s About Your Heart,” yang dijayakan dengan sokongan rakan strategik seperti Blackmores, Nestle Omega Plus, Ogawa dan Mamee.
Aktiviti menarik buat pengunjung
Pada program tersebut, pengunjung dapat menjalani pemeriksaan Electrocardiogram (ECG) dan Echocardiogram (ECHO) secara percuma dengan bimbingan pakar IJN.
Selain itu, pengunjung turut diberi tunjuk ajar demonstrasi bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR), cabaran kecergasan, zumba dan Red Light Green Light serta pertandingan memasak sihat melali Wholesome Meal Challange.

Mengulas lanjut, Akmal Arief mengakui perubahan tabiat seperti merokok, diet tidak seimbang dan kurang aktiviti fizikal juga memerlukan usaha berterusan.
Justeru, beliau menggesa masyarakat agar menggunakan program seperti ini untuk mendapatkan pendedahan dan menjadikan pemeriksaan awal kesihatan jantung mereka sebagai tabiat baharu.
IJN tawar klinik berhenti merokok, pemakanan sihat
Tambahnya, IJN turut menawarkan klinik berhenti merokok dan program pemakanan sihat sebagai sebahagian daripada usaha untuk membantu masyarakat memulakan inisiatif kecil tetapi bermakna.
“Kerajaan telah memperkenalkan larangan merokok di tempat awam dan pelbagai kempen kesihatan untuk kesedaran masyarakat yang memerlukan masa dan usaha berterusan.
“Justeru, masyarakat perlu mengambil peluang menghadiri program seperti Hari Jantung Sedunia bukan sekadar untuk hiburan namun sebagai satu langkah permulaaan ke arah perubahan gaya hidup.
“Kita perlu menjaga kesihatan jantung sebagai satu habit dan mengamalkan gaya hidup sihat dengan membuat pemeriksaan awal.
“Orang ramai boleh mengambil peluang daripada program seperti ini di mana sambil membeli-belah di hujung minggu, dapat singgah untuk mendapatkan pemeriksaan atau belajar sesuatu yang boleh menyelamatkan nyawa,” katanya lagi.