Acara berbasikal lebuh raya Heritage Ride Taiping 2025 dijangka hambat 2,000 peserta selepas penganjur umum lanjutan tarikh pendaftaran sehingga 24 September ini.
Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh berkata, acara edisi kedua itu akan berlangsung pada 30 November depan bermula di Dataran Warisan Taiping.
Katanya, sambutan hangat apabila 1,700 penyertaan direkodkan setakat ini melepasi sasaran awal 1,500 peserta, sekali gus mendorong tarikh tutup dilanjutkan.

“Heritage Ride bukan sekadar sukan, tetapi platform merancakkan pelancongan Taiping dan menonjolkan keunikan bandar ini yang kaya warisan serta sejarah,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.
Rancak pelancongan Taiping
Acara itu menawarkan tiga kategori kayuhan iaitu 90 kilometer (km), 60km kompetitif dan 20km Fun Ride yang merentasi Sepetang, Simpang Empat dan Kamunting.
Bagi menarik penyertaan anak muda, 200 slot khas percuma disediakan untuk pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun hasil kerjasama Kementerian Pendidikan.
Taiping dipilih kerana sarat nilai sejarah termasuk muzium, penjara dan stesen kereta api pertama di negara ini.
Peserta juga bakal merasai kayuhan melalui Esplanade serta Raintree Walk di Taman Tasik Taiping yang berusia lebih 140 tahun, menjadikan acara ini gabungan unik sukan, warisan dan pelancongan.