Mat Korro atau nama sebenar Yuskhairul Yusof berjaya melunas “hutang” lama selepas menumbangkan Mohama Aruswan Mamingbakor atau “Iwan” menerusi pukulan KO di pusingan kedua separuh akhir MFN International Mega 8 Pro Muaythai, baru-baru ini.
Aksi penuh berani itu menjadi detik manis buat Yuskhairul, 39, yang sebelum ini pernah tewas kepada lawan sama dalam pertemuan terdahulu.
Lebih bermakna, kemenangan bergaya itu turut mengesahkan tiketnya ke final MFN International Mega 8 yang bakal berlangsung di Arena of the Stars, Genting Highlands pada 6 Disember.

Menurut Yuskhairul, pertemuan kali ketiga dengan Iwan memberi kelebihan besar untuk membaca corak gerakan lawan serta menutup ruang kelemahannya.
“Alhamdulillah, hasil usaha keras saya, dari awal lagi saya nampak Iwan agak ragu-ragu, jadi saya cuba lepaskan sepakan dan bila dia mahu cling, saya terus mara ke depan sebelum KO itu terkena tepat.
Mat Korro
Dia menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti kerja keras dan pengorbanan yang dilakukan sepanjang latihan intensif sebelum kejohanan ini.
Menanti di final nanti ialah bakat muda negara, Muhammad Hafizi Muhlisom, 23, yang disifatkan Yuskhairul sebagai lawan berbahaya dan tidak boleh dipandang ringan.
“Fokus saya adalah kepada pelan permainan sendiri, selain memastikan tubuh kekal tangkas kerana saya juga bakal menyertai beberapa kejohanan lain sebelum Disember,” ujarnya.