KUALA LUMPUR, 23 September – Seorang suri rumah kecewa apabila hasrat untuk membangunkan tanah bagi mendirikan rumah anak-anaknya terhalang selepas tanahnya dikenakan kaveat persendirian oleh sebuah syarikat peminjam wang berlesen.
Rusiah Ahmad, 53, berkata dia dan keluarga terkejut selepas mendapati tanah miliknya seluas tiga suku ekar di Teluk Kemang telah dikenakan sekatan sementara ketika anaknya membuat carian rasmi di Pejabat Tanah dan Galian Port Dickson pada 25 Jun lalu.
Menurutnya, dia tidak pernah membuat apa-apa pinjaman sama ada bercagar atau tidak bercagar serta tidak pernah meletakkan tanah miliknya sebagai cagaran kepada mana-mana pihak.
Namun, Rusiah mengakui pernah menjadi penjamin bagi rakannya yang membuat pinjaman dengan syarikat tersebut, tetapi kaveat tersebut dikeluarkan terhadapnya sedangkan dia tidak menerima satu sen pun daripada syarikat berkenaan.
Lebih mengecewakan, tindakan kaveat itu menyebabkan bantuan rumah mesra rakyat Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang dimohon anak-anaknya ditolak selepas tanah tersebut tidak lagi dianggap ‘bebas halangan’.
“Amat mengecewakan kerana dalam satu saman yang diterima mengatakan saya sebagai peminjam bersama, sedangkan saya hadir ketika pemohonan pinjaman dibuat oleh rakan saya, adalah sebagai penjamin.

“Saya tidak tahu, saya tidak pernah memaklumkan apa-apa harta yang saya ada kepada syarikat berkenaan (yang berpangkalan di Kuala Lumpur). Saya hanya menjadi penjamin dan tidak menerima wang daripada pinjaman tersebut.
“Saya amat marah dan sedih kerana impian anak-anak untuk mendirikan empat buah rumah mesra rakyat di situ tidak dapat direalisasikan,” katanya pada sidang akhbar bersama Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP), di sini, baru-baru ini.
Terkejut dapat surat sama
Sebelum ini, Rusiah memberitahu pada mulanya dia terkejut apabila menerima surat saman daripada syarikat peminjam wang itu pada tahun lalu atas alasan gagal melunaskan hutang berjumlah RM400,000 sedangkan pinjaman asal yang dibuat rakannya hanya RM200,000.
Justeru, Rusiah dengan bantuan PKP akan memfailkan tuntutan kepada syarikat tersebut atas dakwaan Kaveat Persendirian dibuat secara tidak sah dan menuntut perintah pembatalan segera ke atas tanah miliknya selain ganti rugi am dan khas atas kerugiaan yang ditanggung pihaknya.
Sementara itu, peguam, Muhammad Izhar Mohd. Salehuddin memberitahu, beliau bersama PKP bersedia membantu Rusiah sebagai anak guamnya bagi memfailkan pertikaian terhadap status kaveat berkenaan di Mahkamah Tinggi Seremban.
“Ia suatu yang bertentangan dengan perjanjian dibawah Jadual J berkenaan permohonan pinjaman tidak bercagar. Sedangkan bagi pinjaman permohonan bercagar perlu menggunakan Jadual K Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
“Justeru, tindakan mengenakan kaveat ke atas hartanah menggunakan alasan disaman di mahkamah apatah lagi mengatakan anak guam sebagai peminjam bersama adalah tidak sah,” ujarnya.
Terdahulu, sidang media yang diadakan di Hotel Silka, Cheras turut dihadiri oleh Yang Dipertua PKP, Samsudin Mohamad Fauzi bersama Sayap Kebajikan PKP, Datuk Rosli Atan.
Tindakan bercanggah dengan undang-undang
Sementara itu, Samsudin berkata syarikat itu juga dipercayai mengemukakan dokumen atau butiran palsu kepada mahkamah untuk menyaman mengenakan sekatan ke atas hartanah secara tidak sah.
Tindakan syarikat itu yang sewenang-wenangnya menggunakan proses mahkamah dan undang-undang bagi mengenakan kaveat hartanah atas pinjaman tidak bercagar adalah tidak wajar, katanya.
Malah, melakukan tindakan sedemikian ke atas seseorang yang menjadi penjamin kemudian diisytihar sebagai peminjam bersama di mahkamah tanpa pengetahuannya adalah suatu bentuk penganiayaan.

“Dalam kes Rusiah Ahmad yang diadukan kepada kami, dia tidak pernah menerima sebarang duit. Tidak ada sebarang baucar dan sebagainya diberikan kepada Rusiah. Tetapi, dia disaman sebagai peminjam bersama.
“Saya sendiri sudah hadir ke Pejabat Tanah dan Galian Port Dickson untuk melihat sendiri dokumen-dokumen yang digunakan untuk kaveat,” katanya, ketika ditemui pemberita pada sidang media baru-baru ini.
Penganiayaan nyata
Jelas Samsudin, dalam kes tersebut syarikat berkenaan menggunakan dokumen mahkamah iaitu saman untuk kaveat tanah mangsa yang jelas sekali penyalahgunaan proses undang-undang.
“Perjanjian yang ditandatangani oleh Rusiah sebagai penjamin dan rakannya sebagai peminjam adalah di bawah Jadual J bukan K Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
“Tetapi, mereka menggunakan Jadual J dan dokumen saman mahkamah, bukannya perintah untuk memperdaya pejabat tanah bagi memasukkan satu kaveat. Itu adalah satu penganiayaan yang nyata,” tegasnya.
Beliau menambah, mangsa juga sudah membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson kerana pihaknya mendapati terdapat perlakuan jenayah terancang untuk menuntut suatu jumlah wang yang tidak terhutang.
“Ia adalah satu jenayah terancang. Lesen pemberi pinjam wang bukan suatu kebenaran untuk melakukan perbuatan sedemikian. Bukti sudah ada pada kami, kami sedia untuk menghantar segala bukti kepada polis.
“Kemudian, satu aduan sudah pun dimaklumkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pejabat menterinya,” jelasnya.