Ikon fesyen Ralph Lauren yang paling digemari ramai, Polo Bear kini melangkah keluar dari helaian katalog dan baju sejuk klasik ke layar animasi.
Anak patung beruang berwajah manis itu, yang mula diperkenalkan pada tahun 1990 sebagai hadiah ulang tahun untuk jenama tersebut, kini menjadi bintang utama dalam filem pendek animasi sulung Ralph Lauren berjudul “The Polo Bear Chronicles: Operation Black Tie”.
Sejak kemunculannya lebih tiga dekad lalu, Polo Bear bukan sekadar maskot. Ia berkembang menjadi simbol gaya hidup mewah dan santai Ralph Lauren, serta wajah yang sinonim dengan naratif fesyen penuh gaya – dari pentas pertunjukan hingga ke perincian koleksi.
Dalam filem berdurasi enam minit ini, Polo Bear dipersembahkan sebagai wira senyap penuh gaya, beraksi dalam pengembaraan mencuri tumpuan.

Dari galeri seni diterangi cahaya bulan hingga ke padang polo di sebuah estet peribadi, si beruang bergaya tajam ini cuba menyelesaikan misteri rompakan seni bersama sidekick yang tidak disangka – seekor burung merpati jalanan.
Treler filem ini dibuka dengan naratif dramatik:
“Dalam sebuah townhouse sunyi di Manhattan, di mana muzik jazz bergema lembut dan sut tajam berkilau bak bilah pisau, tinggal seekor beruang penuh cita rasa mewah …”
Dari majlis gala ke rumah tepi pantai, Polo Bear tampil menyamar, menyusup dan mengelirukan sosialit serta pengawal keselamatan – semuanya tanpa sepatah kata.
Tetapi satu perkara jelas: apabila lampu terpadam dan karya seni ghaib, hanya ada satu nama yang bermain di bibir semua orang – Polo Bear.
“The Polo Bear Chronicles: Operation Black Tie” kini ditayangkan sepenuhnya di saluran YouTube Ralph Lauren bermula 14 Ogos lalu, dengan peminat fesyen dan animasi pastinya tidak mahu terlepas menonton debut layar besar maskot paling ikonik dalam dunia gaya hidup mewah ini.