Dari kerjaya sebagai akauntan kepada dunia seni abstrak, perjalanan Kurator & Pengarah Artistik Opera d’Arte, Datin Wira Nurina Norman, membuktikan bahawa minat dan dedikasi mampu membuka ruang baharu dalam hidup.
Menampilkan koleksi lebih 35 karya seni, beliau kini mempersembahkan pameran solo bertema UTOPIA yang mengetengahkan kanvas berskala besar dengan penggunaan warna-warna terang penuh tenaga.
Pameran seni halus eksklusif itu hasil kolaborasi kreatif bersama Universiti Malaya (UM) terbuka kepada orang ramai dari 18 Ogos 2025 sehingga 20 September 2025 di Galeri Seni UM, Kuala Lumpur.

“Saya memulakan kerjaya sebagai seorang akauntan dan auditor dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Multimedia. Namun selepas berkahwin, saya lebih banyak masa di rumah bersama anak-anak. Dari situ saya mula mendalami seni, khususnya seni abstrak, sejak lima hingga enam tahun lalu,” jelasnya.
Tema Utopia, kata Datin Nurina, menggambarkan sebuah dunia impian yang didambakan manusia. Setiap karya, khususnya kanvas bersaiz besar, dihasilkan dengan objektif untuk mewujudkan pengalaman kolektif yang dapat dinikmati bersama.
“UTOPIA bukan sekadar pameran seni, ia adalah sebuah perjalanan merentasi idea dan harapan manusia. Kolaborasi bersama UM ini membuktikan bahawa seni mampu menghubungkan pendidikan dan masyarakat, memberi inspirasi kepada generasi kini dan akan datang.
Datin Nurina
“Saya mahu seni saya menjadi ruang komuniti – di mana penonton boleh berkongsi momen, cerita dan merasai keterhubungan sesama manusia,” tambahnya.
Setiap karya bawa mesej berbeza

Antara karya yang mencuri perhatian ialah “The Flower 2”, yang membawa mesej woman empowerment dan ketabahan wanita.
“Bunga tunggal itu mewakili kekuatan wanita untuk terus berdiri walau berdepan cabaran. Ia karya motivasi agar wanita lebih berdikari dan berdaya tahan,” katanya.
Proses menyiapkan keseluruhan koleksi mengambil masa hampir dua tahun, dilakukan secara berperingkat kerana tanggungjawab beliau sebagai ibu kepada empat orang anak. Malah, anak-anak turut menjadi sumber inspirasi, sama ada dalam tema kasih sayang ibu, mahupun melalui sentuhan kecil yang dimasukkan ke dalam beberapa karya.
Bagi Datin Nurina, warna bukan sekadar estetik. Setiap ton warna mempunyai tenaga dan manfaat tersendiri – kuning merangsang kreativiti, merah melambangkan kasih sayang, manakala biru memberi kesan ketenangan.
“Saya mahu penonton menyerap tenaga positif daripada warna-warna ini, kerana kajian menunjukkan ia mampu mengurangkan tekanan,” ujarnya.
Salah satu karya paling mencabar untuk dihasilkan ialah “Violet”, yang menggunakan teknik ink art sebagai asas dan mengambil masa sebulan kerana proses pengeringan berlapis-lapis.
Kolaborasi dengan dunia fesyen

Menariknya, sebahagian karya kecil Datin Nurina pernah dihadiahkan kepada suaminya, yang kemudian mencetak semula motif abstrak tersebut pada busana jenama Jakel. Kerjasama ini membuka dimensi baharu dalam mempertemukan seni halus dengan fesyen.
Bagi beliau, seni juga adalah legasi keluarga. “Saya mahu anak-anak saya membesar dalam suasana yang dekat dengan seni. Walaupun tidak semuanya memilih jalan yang sama, saya harap sekurang-kurangnya mereka dapat menghargai dan mungkin suatu hari menyambung warisan ini,” katanya.
Pameran UTOPIA bukan sahaja menampilkan karya berskala besar yang jarang dipersembahkan artis tempatan, tetapi juga menjadi ruang refleksi tentang warna, tenaga, dan kekuatan wanita. Ia adalah undangan kepada khalayak untuk menyelami keindahan abstrak dan merasai sendiri pengalaman imersif yang ditawarkan.
Kolaborasi Opera d’Arte dan UM ini turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan industri seni, membuka ruang kepada dialog kreatif antara pelajar, warga akademik, para artis, seniman dan komuniti umum.
Sepanjang tempoh pameran, orang ramai berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sampingan seperti sesi wacana seni, bengkel kreatif, dan lawatan berpandu. Kemasukan adalah percuma untuk semua lapisan masyarakat.