Debaran dunia permotoran kembali ke tanah air apabila PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2025 (MotoGPTM Malaysia) dilancarkan secara rasmi sekali gus menandakan bermulanya hitungan detik ke arah perlumbaan paling berprestij Asia Tenggara itu.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dengan kehadiran pelbagai pihak berkepentingan termasuk penaja, rakan industri serta media.
Acara tahun ini dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (PETRONAS SIC), melakar sejarah sebagai edisi ke-34 sejak Malaysia menyertai kalendar MotoGP dunia dan kali ke-26 dianjurkan di Sepang – menjadikannya acara sukan antarabangsa paling lama bertahan di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS SIC, Azhan Shafriman Hanif, mendedahkan kejayaan edisi lalu yang mencatat 184,923 penonton, hampir mencapai kapasiti penuh.

Tahun ini, pihaknya optimis melepasi sasaran 200,000 penonton, menjadikan MotoGP Malaysia antara pesta sukan terbesar di rantau ini.
“Setakat ini, 75 peratus tiket telah habis dijual. Tahun ini kami menambah pengalaman baharu buat peminat termasuk penganjuran festival muzik elektronik (EDM) pra-perlumbaan buat pertama kali.
Selain itu, RM1 daripada setiap tiket akan disalurkan ke Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi menyokong Program Pembangunan Sukan Permotoran. Ia bukti komitmen jangka panjang kami dalam melahirkan bakat baharu di samping menawarkan pengalaman bertaraf dunia,” katanya.
Lebih sekadar perlumbaan
Bagi Hannah Yeoh, MotoGP Malaysia adalah lebih daripada sekadar acara sukan permotoran memandangkan selama lebih tiga dekad, MotoGP Malaysia telah menjadi aset strategik negara khususnya pemacu pelancongan, pencipta peluang pekerjaan, dan penyokong pembangunan belia.
“Dengan pulangan pelaburan 6.3 kali ganda dan impak ekonomi lebih RM329 juta, ia jelas memberi nilai nyata kepada negara dan komuniti.
“Lebih penting, ia menjadi platform melahirkan juara masa depan seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan yang membuktikan anak Malaysia mampu berdiri di pentas dunia.
Hannah Yeoh
Selaras dengan agenda Malaysia MADANI, PETRONAS SIC turut meneruskan inisiatif Tiket Rahmah dengan tawaran tiket K2 Hillstand pada harga RM49.90 sahaja. Sempena pelancaran, promosi Beli 1 Percuma 1 untuk Tiket Rahmah dibuka selama 24 jam bermula tengah hari, 12 Ogos.
Festival EDM antarabangsa hangatkan minggu perlumbaan

Buat pertama kali dalam sejarah, MotoGP Malaysia akan didahului oleh dua festival EDM berskala besar iaitu “HARDTECH” pada 18 Oktober dan Transmission Festival pada 19 Oktober dengan tema “The Awakening”.
Dianjurkan bersama Hi-Five Entertainment dan Neon Projects, festival ini dijangka menarik ribuan peminat antarabangsa sekali gus memberi lonjakan ekonomi, budaya dan pelancongan menjelang Minggu Perlumbaan.
HardTech (Hardmission & Techmission) – satu kuasa revolusioner dalam dunia muzik elektronik, bakal membuat penampilan sulungnya di Malaysia, melangkau sempadan muzik, teknologi dan budaya.

Dikenali dengan energi tanpa henti dan hentakan irama yang padu, HardTech menghadirkan pengalaman rave futuristik yang menggabungkan rekaan bunyi canggih dengan seni visual imersif, sekali gus mentakrifkan semula cara khalayak menikmati muzik elektronik.
Karnival, perarakan & sesi bertemu peminat
Minggu Perlumbaan akan bermula 21 Oktober dengan perarakan motosikal dan sesi ramah mesra pelumba di IOI City Mall, Putrajaya. Disusuli dengan Public Pit Lane Walk, Sesi Autograf Pelumba serta kemunculan semula Night Track Tour pada 24 Oktober.
Sorotan lain termasuk MotoGP Mega Carnival yang menampilkan lebih 100 jenama gaya hidup dan permotoran, aktiviti mesra keluarga, makanan & minuman, serta hiburan. Acara popular seperti Rider Parade dan Hero Walk pula dijadual berlangsung pada 25 dan 26 Oktober.
Hadiah buat peminat bertuah
Peminat bertuah berpeluang memenangi motosikal Aprilia RS457 bernilai RM33,900 melalui #MalaysianGP2025 Mega Lucky Draw yang dibuka kepada pemegang tiket Grandstand.
Selain itu, enam pakej penginapan eksklusif ditawarkan melalui peraduan bulanan di media sosial.
Tiket boleh didapati di laman rasmi www.sepangcircuit.com dengan pelbagai kategori ditawarkan. Peminat boleh mengikuti saluran media sosial rasmi SIC untuk pengumuman terkini mengenai aktiviti Minggu Perlumbaan, peraduan serta promosi.