Bahang kemeriahan Aidilfitri 2027 sudah mula terasa apabila festival beli-belah paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia, Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya (ABFGR), secara rasmi mengumumkan kemunculan semula untuk edisi tahun hadapan.
Pernah melakar sejarah dan diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai Ekspo Festival Raya Terbesar di Malaysia pada tahun 2024, penganjuran kali ini menjanjikan skala yang jauh lebih besar, meriah dan luar biasa.
Diterajui oleh ABGR PLT—hasil kolaborasi mantap antara My Events International dan Absolut Events—festival ini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi wajib singgah buat seisi keluarga melengkapkan kelengkapan Syawal.
Lebih 900 Vendor & Kemunculan Sulung di Pantai Timur

Mengekalkan tradisi ikoniknya, ABFGR 2027 akan membuka tirai di lokasi keramatnya, Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur bermula 19 hingga 22 Februari 2027.
Peminat fesyen dan pemburu sales Raya bakal dimanjakan dengan pengalaman membeli-belah selama 66 jam tanpa henti!
Berita paling menggembirakan buat warga Pantai Timur, ABFGR buat julung kalinya akan melebarkan sayap ke Pahang. Bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, edisi ini bakal berlangsung pada 5 hingga 7 Mac 2027.
Pengarah Urusan Absolut Events & Management, Nur Ali Nadzwan atau lebih dikenali sebagai Ben Ali berkata, secara keseluruhan menyasarkan penyertaan lebih daripada 900 vendor merangkumi jenama fesyen terkenal, kelengkapan rumah, produk kecantikan, sehinggalah ke juadah tradisi.
Bukan Sekadar Membeli-Belah, Tapi Pesta Hiburan Seisi Keluarga

Melangkah masuk ke tahun kelima penganjurannya, Ben Ali berkata, ABFGR 2027 direka bukan sekadar sebagai pusat sehenti membeli-belah, tetapi sebuah pesta gaya hidup yang menyatukan usahawan tempatan dan pengunjung.
Antara pengisian menarik yang menanti para pengunjung termasuklah:
- Sesi Ramah Mesra: Peluang bertemu empat mata dengan barisan selebriti dan pempengaruh terkenal tanah air.
- Mini Absolut Foodfest: Syurga makanan viral untuk berbuka puasa atau bersahur.
- Hiburan & Ganjaran: Konsert mini, jualan runtuh ‘Happy Hour’, cabutan bertuah, permainan interaktif ‘Wheel of Fortune’, dan cabaran ‘Money Chamber’.
- Komuniti: Pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi menyantuni golongan memerlukan.
Bagi memastikan kelancaran serta pengalaman terbaik buat semua pengunjung dan peniaga, edisi 2027 turut diperkukuhkan dengan kehadiran rakan strategik gergasi.
Advance Intelligence Group (ATOME) tampil sebagai Rakan Pembayaran Buy Now, Pay Later (BNPL) Rasmi, Media Prima Berhad selaku Media Rasmi, serta Blackmores Malaysia Sdn Bhd sebagai Rakan Kesihatan & Kesejahteraan Rasmi.
Kejutan Istimewa: ‘Tapestry by ABGR: Singgah Raya’

Dalam perkembangan yang sama, Pengasas Bersama ABGR PLT, Nadiyah Shahab turut membuat pengumuman khas mengenai pengenalan model acara terbaharu mereka yang diberi nama Tapestry by ABGR: Singgah Raya.

Bakal berlangsung pada 26 hingga 28 Februari 2027 bertempat di The Arch Galeries selaku Lokasi Rasmi, acara ini menawarkan suasana dan konsep yang berbeza daripada ABFGR.
“Tapestry by ABGR: Singgah Raya akan menjadi sesuatu yang istimewa kerana ia merupakan acara yang berbeza sama sekali berbanding Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya; kami akan membawakan konsep dan pengalaman acara yang benar-benar berlainan,” jelas Nadiyah Shahab.
Menyasarkan segmen pasaran yang lebih segar dengan pakej penyertaan yang jauh lebih mampu milik buat para peniaga, acara ini memperkenalkan tiga zon konsep utama dengan kadar sewaan booth seperti berikut:
| Kategori Konsep | Lokasi Booth | Harga Pakej |
|---|---|---|
| Premium | Sudut (Corner) | RM4,000 |
| Premium | Tengah (Intermediate) | RM3,500 |
| Mini AFF | Sudut (Corner) | RM3,500 |
| Mini AFF | Tengah (Intermediate) | RM3,000 |
| Pasar Lambak (Flea Market) | Sudut (Corner) | RM3,300 |
| Pasar Lambak (Flea Market) | Tengah (Intermediate) | RM2,800 |
Peluang Keemasan Buat Usahawan Tempatan
Penganjuran serentak dua jenama acara hebat ini membuktikan komitmen ABGR PLT dalam memperkasakan ekosistem usahawan tempatan, tidak kira sama ada jenama yang sudah kukuh mahupun perniagaan yang baru bertapak.
Pihak penganjur kini membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana jenama dan pemilik perniagaan yang berminat untuk menjalinkan kerjasama strategik atau menempah slot jualan.
Orang ramai dan para usahawan disarankan untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini melalui platform media sosial rasmi Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya agar tidak terlepas pengumuman barisan selebriti serta kejutan istimewa yang bakal menyusul tidak lama lagi.


