Bayangkan lebaran anda bukan sekadar tentang kunjung-mengunjung, tetapi sebuah perarakan warna yang melaungkan keberanian dan keyakinan diri. Itulah nafas yang ditiupkan oleh jenama fesyen past-forward, Bayu Somerset, menerusi pelancaran koleksi Raya 2026 mereka, #somerSYOKraya26.
Majlis yang berlangsung penuh warna di outlet terbaharu mereka di Central i-City, Sabtu lalu, bukan sekadar pelancaran koleksi busana. Ia adalah sebuah perayaan kreativiti yang menggabungkan elemen seni, kolaborasi berjiwa besar, dan satu kenyataan gaya yang cukup ‘lantang’.
Simfoni Seni & Fabrik
Tahun ini, Bayu Somerset tidak bereksperimen sendirian. Mereka membuktikan bahawa fesyen adalah kanvas seni tanpa sempadan melalui tiga kolaborasi eksklusif yang memukau.

Sentuhan magis Arif Rafhan memberikan nafas baharu kepada motif batik klasik dengan palet warna ceria, manakala Bunga dan Bintang pula membawa sisi romantis melalui cetakan flora pastel yang cukup manis dan feminin.
Tidak ketinggalan, kolaborasi kejutan bersama Machino yang menggabungkan bunga Hana ikonik mereka dengan corak batik Bayu Somerset. Hasilnya? Sebuah rekaan berona hangat musim luruh yang cukup sofistikated, lengkap dengan empat pilihan kasut eksklusif dan skarf versatil.

Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul menyifatkan jenama ini sebagai penyatu harmoni.
“Walaupun siluet kami berakar daripada warisan budaya Malaysia, warna dan corak yang kami tampilkan adalah moden dan berani. Kami menggabungkan tradisi dengan seni kontemporari, menghasilkan koleksi yang meraikan warisan dan gaya masa kini.
Dania Kamalul
Koleksi Raya #somerSYOKraya26 dengan kolaborasi eksklusif bersama Arif Rafhan, Bunga dan Bintang & Machino telah dilancarkan di outlet baharu Central i-City, Shah Alam baru-baru ini.
Kehadiran selebriti popular turut menambah seri. Anzalna Nasir tampil cukup anggun dalam sarungan Inara Kurung rona Cempaka Puteh, hasil kolaborasi bersama Arif Rafhan.

Manakala, kehangatan kasih sayang keluarga diterjemahkan melalui kemunculan Liza Hanim bersama anak perempuannya yang tampil sedondon dalam set kebaya Agnes Kotabaru rona Murni Blue dan Green.
Namun, kejutan paling manis musim ini adalah pengenalan jingle rasmi pertama jenama ini yang menampilkan vokal bertenaga bintang muda, Aisha Retno.
Dengan lirik “I wanna be bold, I wanna be loud,” lagu ini seolah-olah menjadi lagu tema bagi mereka yang ingin tampil berani.
Fesyen Untuk Semua
Bagi Bayu Somerset, fesyen tidak seharusnya memilih rupa atau saiz. Dengan menawarkan saiz daripada XXS hingga 5XL, jenama ini memastikan tiada sesiapa yang tertinggal untuk melaram di pagi raya.


“Matlamat kami adalah untuk mencipta fesyen yang membina keyakinan untuk semua, tanpa mengira saiz, jantina atau usia. Menerusi #somerSYOKraya26, kami harap semua orang dapat berasa bangga, bergaya dan selesa menjadi diri sendiri,” tambah Dania lagi.
Dengan 50 corak unik dan lebih lima siluet baharu, koleksi ini ditawarkan pada harga bermula RM99. Anda boleh mendapatkan koleksi penuh ini di semua outlet Bayu Somerset termasuk Central i-City atau secara dalam talian di www.bayusomerset.com.


