Hairkunst, jenama salon profesional dalam industri kecantikan, hari ini melakar satu lagi pencapaian penting menerusi pembukaan rasmi Hairkunst Hijabis Luxe.
Terletak di Bandar Baru Bangi, cawangan ini mengukuhkan komitmen Hairkunst dalam menawarkan perkhidmatan kecantikan bertaraf premium yang selari dengan prinsip syariah dan keperluan wanita Muslimah moden.

Menurut Pengasas Bersama Hairkunst, Bambang Soteto, penubuhan Hairkunst Hijabis Luxe berpaksikan kepada kesedaran bahawa wanita Muslimah memerlukan ruang rawatan rambut yang bukan sahaja berkualiti tinggi, malah tertutup sepenuhnya, selesa dan menjaga aurat.
Realitinya, masih ramai wanita terpaksa berkompromi antara keinginan untuk menjaga penampilan dan pegangan agama, justeru Hairkunst Hijabis Luxe diwujudkan sebagai satu solusi menyeluruh.

Menurut Yuskiahniza Md Yusof yang juga rakan kongsi Hairkunst, salon ini tampil dengan konsep privasi, untuk wanita sahaja dan memfokuskan keselesaan, disokong oleh penggunaan produk berasaskan vegan sehingga 95 peratus, termasuk pewarna rambut vegan telus air, rawatan rambut organik, keratin, rebonding serta rawatan kulit kepala yang dipilih secara teliti.
Setiap produk dan prosedur dinilai bagi memastikan ia bukan sahaja selamat dan berkesan, malah patuh syariah serta sesuai dengan keperluan ibadah Muslimah.
Ruang eksklusif untuk keselesaan muslimah
Bagi menjamin pengalaman pelanggan yang setara dengan standard antarabangsa, Hairkunst Hijabis Luxe turut menggunakan peralatan profesional berjenama seperti Dyson dan GHD, selain menampilkan susun atur ruang yang eksklusif dengan kemudahan ruang VIP, VIP manicure dan pedicure, perkhidmatan valet, serta ruang menunggu khas berkonsepkan ‘glass house’ untuk para suami dan ahli keluarga.



Dari sudut pelaburan, Hairkunst telah memperuntukkan kos keseluruhan sebanyak hampir RM700K bagi merealisasikan pembukaan cawangan ini.
Pelaburan tersebut meliputi reka bentuk dalaman tertutup dan patuh syariah, kelengkapan profesional bertaraf premium, pemilihan produk vegan berkualiti tinggi serta pembangunan sistem operasi yang menyokong pengalaman pelanggan yang eksklusif dan selesa.
Dalam merealisasikan konsep salon muslimah premium ini, Hairkunst turut berdepan pelbagai cabaran, terutamanya dari segi kos pelaburan awal yang tinggi bagi memastikan setiap ruang memenuhi keperluan privasi, keselesaan dan pematuhan syariah.
Selain itu, industri salon yang bergantung kepada kemahiran individu turut menuntut usaha berterusan dalam melatih dan mengekalkan tenaga kerja wanita yang mahir, profesional serta memahami nilai dan adab kerja salon muslimah.

Cabaran lain termasuk usaha mendidik pasaran agar memahami nilai sebenar salon muslimah premium yang tidak sekadar berasaskan harga, tetapi menekankan aspek keselamatan aurat, ketenangan, servis peribadi serta pemilihan produk yang patuh syariah dan berkualiti tinggi.
Pemilihan Bandar Baru Bangi sebagai lokasi cawangan kedua adalah strategik, selaras dengan identitinya sebagai Bandar Ilmu yang dihuni majoriti komuniti Muslim, golongan profesional dan keluarga berpendidikan dengan kesedaran tinggi terhadap penjagaan diri serta gaya hidup berkualiti.
Pembukaan Hairkunst Hijabis Luxe ini bukan sekadar peluasan perniagaan, malah satu usaha untuk menetapkan penanda aras baharu dalam industri salon muslimah di Malaysia.
Maklumat lanjut menerusi media sosial Instagram, Facebook dan Tiktok (IG: hairkunsthijabisluxe FB: @Hairkunst Hijabis luxe TT: hairkunsthijabis)


