KUALA LUMPUR – Penganjur Havoc Food Festival tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak terutama penduduk berhampiran Sama Square, Setapak atas insiden kesesakan teruk yang berlaku hingga pihak berkuasa tempatan mengarahkan festival itu dihentikan serta-merta, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Firdaus Nadxaman berkata, isu tersebut berlaku kerana mereka terlepas pandang tentang perkara tersebut hingga menimbulkan kemarahan penduduk setempat.
“Kami dengan rendah hati memohon maaf kepada semua yang terlibat termasuklah penduduk sekitar atas pengalaman yang kurang memuaskan, terutamanya berkaitan dengan kesesakan di lokasi acara.
“Tidak lupa juga kepada lebih 140 peniaga yang terlibat yang terpaksa menanggung kerugian disebabkan arahan penutupan festival oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) awal sehari daripada yang telah dijadualkan,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perfume Paradise, Nur Afiqah Amran serta wakil peniaga selebriti, Asfan Shah.
Situasi itu turut menyebabkan beberapa penduduk sekitar terkandas dan menimbulkan rungutan di media sosial.
Insiden pertama sejak mula diperkenal
Ekoran insiden terbabit, pihaknya menerima arahan daripada Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan mengarahkan agar Havoc Food Festival dihentikan serta merta.’
Menurut Firdaus, ini adalah kali pertama festival berkenaan menghadapi cabaran besar sejak ia mula diperkenalkan.
Baca juga: Perfume Paradise Penaja Utama Havoc Food Festival 2024-2025
Bagaimanapun, penganjur menzahirkan rasa syukur kerana para vendor yang terlibat tetap komited hingga ke hari terakhir, meskipun mereka terpaksa menanggung kerugian bersama.
“Kami amat berterima kasih kepada semua vendor yang berjuang bersama HFF hingga ke hari ketiga. Apa yang berlaku adalah satu pengalaman dan pengajaran besar buat kami. Banyak hikmah yang dapat kami pelajari daripada situasi ini,” katanya.
Firdaus turut menyatakan komitmen untuk menambah baik penganjuran festival pada masa akan datang serta memastikan kejadian serupa tidak berulang.
Festival bantu peniaga tempatan
“Festival ini bertujuan untuk membantu peniaga tempatan dan meningkatkan sosioekonomi serta pelancongan. Namun, kami akui khilaf dan kelemahan kami dan akan melakukan persediaan lebih teliti pada masa akan datang, termasuk pemilihan lokasi yang lebih sesuai dan meningkatkan kapasiti pengurusan logistik.
“Ini adalah pengajaran buat kami. Kami akan berusaha memperbaiki kelemahan untuk memastikan pengalaman lebih baik pada masa hadapan.
Dato’ Firdaus Nadxaman
“Kami berharap penduduk setempat dapat memahami situasi ini dan menerima permohonan maaf kami dengan hati terbuka. HFF akan terus belajar dan memperbaiki diri demi manfaat semua pihak,” tambahnya.
Nik Nazmi menerusi kenyataan semalam turut memaklumkan arahan itu dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana penganjurannya tidak mendapat lesen hiburan semasa daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan.
“Susulan kesesakan lalu lintas melampau yang telah mengganggu penduduk di kawasan terbabit, pejabat saya telah menyusuli dengan tindakan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Nik Nazmi turut memaklumkan permohonan penganjur untuk mendapatkan lesen bagi mengadakan festival itu sebelum ini ditolak sebanyak dua kali disebabkan lewat dan aduan penduduk setempat berkaitan masalah lalu lintas.
Penganjuran Havoc Food Festival di Sama Square Setapak bermula 9 Januari 2025 dan dijadualkan berakhir hari ini (12 Januari 2025) adalah penganjuran kali ke-44 sejak 2019.
Memasuki tahun kelima penganjuran, Havoc Food Festival di bawah platform Havoc Event Management Sdn Bhd buat julung kali, bermula dengan Havoc Food Festival 37.0 tahun lalu, dan projek akan datang menerima tajaan daripada Perfume Paradise.