Di tengah-tengah krisis ekonomi global yang mencabar, akses kepada pendidikan antarabangsa sering dilihat sebagai satu kemewahan yang mustahil bagi kebanyakan keluarga di Malaysia. Namun, persepsi itu kini dicabar oleh Nilufer Education yang mendedahkan bahawa pengajian tinggi di Türkiye sebenarnya jauh lebih mampu milik berbanding destinasi luar negara yang lain.
Menurut Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nilufer Education, Hidayati Md Nor, kos pendidikan di universiti awam Türkiye adalah sangat kompetitif. Beliau mengambil contoh kursus kejuruteraan yang amat popular di Malaysia.

“Di universiti awam Türkiye, yuran pengajian bagi kursus Kejuruteraan hanya sekitar RM5,000 ke RM5,300 setahun.
“Angka ini bukan sahaja sangat mampu milik bagi sebuah pengajian luar negara, malah ia setaraf dengan kos persekolahan harian, sekali gus meringankan beban kewangan keluarga dalam keadaan ekonomi sekarang,” jelas beliau.
Kualiti melangkaui Eropah, diperkukuh sistem wakaf
Meskipun kosnya rendah, kualiti pendidikan yang ditawarkan di Türkiye tidak boleh dipandang rendah. Hidayati menegaskan bahawa standard akademik di sana adalah setaraf, malah dalam beberapa aspek, melangkaui sistem pendidikan di Eropah.
Kunci utama kepada yuran yang rendah ini adalah kekuatan sistem wakaf yang diamalkan sejak zaman Kerajaan Uthmaniyyah. Sistem ini membolehkan universiti menawarkan pendidikan berkualiti tanpa perlu mengenakan caj yang tinggi kepada pelajar.
HIdayati
Biasiswa tanpa ikatan
Menjawab kegusaran mengenai pembiayaan, Nilufer Education bertindak sebagai one-stop centre yang tidak sekadar menguruskan kemasukan pelajar, tetapi juga mencari sumber dana.

“Kami sedang berbincang dengan pihak PTPTN dan MARA, namun buat masa ini, kami sudah mendapat komitmen daripada beberapa dermawan (philanthropist) dan yayasan terkenal di Malaysia yang bersedia menyediakan bantuan kewangan.
“Menariknya, beasiswa yang ditawarkan melalui sistem wakaf di Türkiye selalunya bersifat tanpa ikatan (non-bonded)—pelajar dibantu tanpa perlu terikat untuk berkhidmat dengan pihak penaja selepas tamat pengajian,” tambah beliau.
Laluan SPM dan sistem padanan pintar
Bagi memudahkan urusan, Nilufer Education sedang membangunkan sistem digital untuk memadankan bakat dan keputusan akademik pelajar dengan universiti yang paling sesuai.
Pelajar lepasan SPM yang mempunyai keputusan cemerlang boleh terus memohon untuk ke peringkat ijazah (associate degree atau ijazah sarjana muda). Bagi yang memerlukan pengukuhan, kursus persediaan (preparation course) turut disediakan.
Jaringan universiti yang luas merangkumi nama-nama besar seperti Istanbul Technical University, Bursa Uludağ University, Middle East Technical University (Ankara), Bursa Teknik University dan banyak lagi.
Kolaborasi strategik bersama City University

Hidayati turut merakamkan penghargaan atas sokongan City University Malaysia yang mempunyai visi sejajar dalam melahirkan graduan bertaraf global. Melalui kerjasama ini, Nilufer Education mensasarkan untuk menghantar sekurang-kurangnya 500 pelajar menjelang akhir tahun ini sebagai fasa perkembangan daripada projek rintis sebelum ini.
“Kami tidak mahu graduan kita hanya menjadi ‘jago kampung’. Dengan membawa kepakaran antarabangsa dan pendedahan luar negara, kita dapat menambah nilai kepada anak bangsa supaya mereka mampu berdiri di persada dunia,” katanya.
Bagi pelajar yang bimbang mengenai bahasa, universiti awam di Türkiye menawarkan program dalam bahasa tempatan, manakala universiti swasta pula menyediakan banyak program dalam bahasa Inggeris pada kadar yang tetap berpatutan.
Terdahulu, Nilufer Education menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama Study in Türkiye, City University Malaysia dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM).

Majlis pemeteraian yang berlangsung secara eksklusif di Dewan Serbaguna, Kampus City University Cyberjaya itu menghimpunkan barisan pemimpin akademik serta pakar industri pendidikan dengan satu matlamat bersama – membuka lebih banyak laluan pendidikan antarabangsa yang mampu milik, mudah diakses dan diiktiraf di peringkat global.
Kerjasama strategik ini berperanan sebagai jambatan antara institusi pendidikan menengah dan pengajian tinggi di Malaysia dengan universiti terkemuka di Türkiye, sekali gus menawarkan peluang kepada pelajar Malaysia untuk memperoleh kelayakan antarabangsa tanpa kos yang membebankan.
Inisiatif ini turut memperkukuh mobiliti akademik, pertukaran budaya serta pendedahan global dalam kalangan pelajar.


