Persatuan Jurusolek Bumiputera Malaysia (MBMUAA) baru-baru ini menyambut ulang tahun ke-10 dalam sebuah majlis penuh gilang-gemilang, sekali gus melakar sejarah baharu melalui pelancaran ‘Playbook MBMUAA: Kemahiran & Kompetensi Industri Seni Solekan dan Gaya Hidup’, sebuah dokumen rujukan pertama seumpamanya di Malaysia.
Disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pensijilan Kompetensi (BPK), Jabatan Pembangunan Kemahiran, Faizah Harun, inisiatif ini menetapkan penanda aras baharu melalui penyelarasan Standard Operasi Prosedur (SOP) industri, kod etika kerja, rujukan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), serta garis panduan kadar bayaran rasmi bagi memperkukuh kredibiliti jurusolek tempatan.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan penghargaan atas dedikasi MBMUAA selama sedekad dalam memartabatkan profesion jurusolek melalui pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Beliau menegaskan bahawa JPK komited untuk sentiasa menyokong usaha persatuan dalam melahirkan tenaga mahir negara yang kompetitif melalui saluran bimbingan yang tepat sambil menyifatkan pelancaran Playbook MBMUAA tersebut sebagai simbolik kepada kredibiliti MBMUAA dalam menerajui standard kemahiran dan profesionalisme di Malaysia.
“Pelancaran ini bukan sekadar sambutan sedekad, malah merupakan manifestasi kematangan MBMUAA dalam mentransformasikan industri solekan daripada sekadar perkhidmatan kepada profesion yang diiktiraf secara rasmi di peringkat kebangsaan.
Dengan sokongan padu Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), MBMUAA kini melangkah ke arah organisasi yang lebih mapan, berdaya saing, dan komited dalam melahirkan tenaga mahir bertaraf dunia” ujar Presiden MBMUAA, Datin Rosnawati Salleh dalam ucapannya.
Bertemakan ‘Glam Tropical’, majlis ini menjadi simbolik kepada evolusi industri kecantikan tempatan yang semakin dinamik. Kehadiran para tetamu yang mempesona dalam busana berunsurkan flora dan rona tropika memberikan nuansa eksklusif kepada sambutan sedekad persatuan tersebut.
Sinergi MBMUAA-INOCHI: Melahirkan Generasi ‘MUA INOCHI’ Melalui Inovasi Estetik
Pada malam tersebut juga menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) strategik antara MBMUAA dan INOCHI.

Sebagai jenama di bawah naungan Picaso Cosmetic, makmal kosmetik gergasi Jepun dengan legasi kecemerlangan melebihi 90 tahun, INOCHI secara rasmi memperkenalkan inovasi penjagaan kulit termaju ke pasaran Malaysia.
Sinergi ini bukan sekadar kolaborasi produk, malah merupakan pemacu kepada transformasi model perniagaan jurusolek tempatan.
Datin Rosnawati turut menyatakan bahawa kerjasama ini mencetuskan anjakan paradigma dalam landskap kecantikan negara.
“Kita beralih daripada model perkhidmatan konvensional kepada ekosistem keusahawanan berteknologi tinggi. MBMUAA komited memperkasakan jurusolek melalui transformasi kerjaya, sekali gus melahirkan komuniti ‘MUA INOCHI’golongan beautypreneurs yang dinamik, kompetitif, dan berdaya saing.
Pengarah Urusan Kumpulan Picaso Cosmetic Sdn Bhd, Dr. Mohd Ihsan Che Mohd Noh, menerangkan bahawa setiap unit produk mampu menjana potensi keuntungan sehingga RM3,000 melalui model margin tinggi dan pendapatan berulang.
Inisiatif ini menjamin kestabilan aliran tunai dan membina jenama eksklusif bagi jurusolek, membolehkan mereka beralih kepada ekosistem perniagaan yang lebih mampan.
“Lebih daripada sekadar visi, kolaborasi INOCHI × MBMUAA menyediakan ekosistem lengkap yang menggabungkan teknologi estetik dan platform strategik.
“Ia merupakan langkah proaktif dalam menterjemahkan potensi besar industri kecantikan Malaysia ke arah realiti perniagaan yang profesional dan bertaraf global” sambungnya.
Menjulang Legasi Seni: MBMUAA Excellence Awards Raikan Dedikasi Luar Biasa Wira Di Balik Tabir

Kemuncak majlis menyaksikan penganugerahan trofi MBMUAA Excellence Awards, sebuah pengiktirafan berprestij bagi menghargai sumbangan luar biasa individu kreatif dalam industri kecantikan dan seni solekan Malaysia.
Senarai penerima anugerah mengikut kategori:
1. Anugerah Pencapaian Cemerlang Seni Solekan Filem & Penyiaran

Anugerah ini mengiktiraf jasa individu yang memartabatkan industri perfileman melalui kreativiti teknik solekan kesan khas (SFX).
Karya beliau bukan sahaja mengangkat kualiti produksi tempatan, malah berjaya meletakkan seni solekan Malaysia di standard antarabangsa.
Penerima: Noraini Ali
2. Anugerah Pencapaian Cemerlang Bidang Latihan & Konsultasi Jurusolek

Pengiktirafan buat individu yang gigih menjalin kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan swasta dalam membangunkan ekosistem latihan kemahiran seni solekan yang lebih profesional di peringkat nasional.
Penerima: Dasyariwani Sariah Daud
3. Anugerah Bintang Bakat Muda – Jurusolek Kreatif Terbaik 2025

Mengiktiraf impak luar biasa bakat baharu yang membawa nafas segar melalui keaslian idea serta keberanian mencetuskan trend dan fenomena baharu dalam seni solekan kreatif.
Penerima: Mimi Azlinda Othman
4. Anugerah Jurusolek Paling Cemerlang Tahunan 2025

Anugerah tertinggi bagi menghargai tokoh yang memiliki kecemerlangan kerjaya yang holistik. Beliau merupakan sumber inspirasi dalam memacu transformasi dan pemerkasaan komuniti MUA ke tahap yang lebih tinggi.
Penerima: Mohammad Afidzi Nor Mohammad
5. Anugerah Kesetiaan MBMUAA (Loyalty Award)



Anugerah ini adalah simbol penghargaan tertinggi buat barisan individu yang telah menunjukkan dedikasi dan sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang sedekad penubuhan MBMUAA, sekali gus menjadi tonggak kepada legasi persatuan.
Penerima: Siti Roshayati Sheikh Hussin, Nor Susilawati Osman & Maziah Abu


