#1 Adakah anda seorang wanita berusia lewat 40-an atau awal 50-an yang sedang bergelut dengan rasa panas mendadak (hot flushes), sukar tidur, dan gangguan emosi?
#2 Tahukah anda jangka hayat wanita di Malaysia pada tahun 2025 dilaporkan ialah 77.9 tahun dan purata umur menopaus dilaporkan ialah 50.7 tahun?
Jika jawapan anda YA dan anda tidak pasti tentang perkara kedua, adalah sangat baik jika anda teruskan membaca artikel ini. Melihat kepada jangka hayat wanita di Malaysia yang kira-kira 25 tahun selepas menopaus, kesedaran mengenai isu kesihatan wanita semasa dan selepas menopaus semakin meningkat dan seharusnya diuruskan dengan baik dalam era moden ini.

Bukan perkara luar biasa wanita datang ke klinik pakar sakit puan (ginekologi) untuk mendapatkan nasihat perubatan mengenai status menopaus mereka, kebimbangan tentang perubahan aliran haid dan corak kitaran, rasa panas mendadak, sukar tidur, gangguan emosi dan sebagainya.
Terapi penggantian hormon salah satu penyelesaian
Oleh itu, Terapi Penggantian Hormon (Hormone Replacement Therapy, HRT) telah menjadi salah satu penyelesaian dan semakin mendapat perhatian dalam era moden ini bagi memberi pilihan kepada wanita untuk memulihkan hormon yang menurun semasa menopaus. Namun, salah satu mitos terbesar mengenai HRT ialah: HRT berbahaya untuk wanita dan menyebabkan kanser payudara!!!
Ini merupakan salah satu cabaran bagi doktor pakar sakit puan yang mengendalikan wanita dengan gejala menopaus. Tidak dinafikan bahawa kanser payudara sentiasa menjadi antara kebimbangan utama wanita masa kini kerana ia merupakan kanser paling kerap berlaku dalam kalangan wanita Malaysia.

Namun, melabelkan HRT sebagai berbahaya adalah tidak adil kepada wanita yang sedang menderita sepanjang tempoh peralihan menopaus. Tidak semua atau majoriti wanita yang mengambil HRT akan berakhir dengan kanser payudara.
Kajian penyelidikan melaporkan bahawa penggunaan HRT selama 5 tahun mungkin meningkatkan risiko kanser payudara daripada 1 dalam 200 wanita kepada 1 dalam 50 wanita, dan dengan melanjutkan penggunaan selama 5 tahun lagi (iaitu 10 tahun penggunaan HRT) boleh menambah lagi risiko daripada 1 dalam 200 wanita kepada 1 dalam 50 wanita, bergantung kepada rejimen dan jenis HRT yang digunakan.
Risiko paling rendah
Dr Tan Jun Wen berkata penggunaan estrogen sahaja dalam HRT mempunyai risiko paling rendah berbanding rejimen lain, namun ia hanya sesuai untuk wanita yang telah menjalani pembedahan membuang rahim. Tambahan pula, formulasi HRT moden pada masa kini juga meniru hormon semula jadi iaitu estrogen dan progesteron, yang dilaporkan mempunyai risiko lebih rendah berbanding formulasi lama berdasarkan kajian penyelidikan terkini.
Adakah risiko-risiko ini boleh diterima? Penerimaan tidak sama bagi setiap individu; apa yang paling penting bagi anda mungkin tidak sama bagi orang lain. Sesetengah wanita mengalami rasa panas mendadak yang tidak tertanggung, gangguan emosi, malam tanpa tidur, keletihan, dan sakit sendi sepanjang tempoh ini. Ini merupakan tanda bahawa hormon yang dihasilkan oleh ovari semakin berkurangan. Oleh itu, dengan menambah semula hormon melalui penggunaan HRT, ia dapat membantu wanita melalui tempoh peralihan ini dengan lebih lancar.
Manfaat pengambilan HRT melebihi risikonya terutamanya bagi wanita yang mengalami kesukaran yang ketara semasa tempoh menopaus. Selain itu, HRT juga melindungi tulang wanita daripada osteoporosis dan seterusnya dapat mengurangkan risiko patah tulang akibat osteoporosis pada usia lanjut.
Mitos pengambilan HRT dengan kanser payudara
Namun begitu, jika anda adalah pesakit kanser payudara atau bekas pesakit kanser payudara, HRT secara amnya tidak digalakkan, dan oleh itu pilihan alternatif lain perlu dipertimbangkan.
Mesej yang lebih penting untuk anda yang bimbang tentang kanser payudara ialah menjalani saringan kanser payudara dengan melakukan mamogram atau imbasan ultrabunyi payudara sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun, serta menetapkan satu hari dalam sebulan untuk pemeriksaan sendiri payudara.
Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia (2017–2021) melaporkan bahawa risiko sepanjang hayat untuk mendapat kanser payudara ialah 1 dalam 23 wanita Malaysia. Untuk makluman anda, majoriti pesakit kanser payudara tidak pernah mengambil sebarang bentuk HRT.
“Terdapat beberapa faktor risiko yang diiktiraf dengan baik yang boleh diberi perhatian oleh wanita untuk mengurangkan risiko sepanjang hayat mendapat kanser payudara. Contohnya, mengekalkan berat badan dalam julat sihat, mengamalkan senaman secara berkala, serta mengelakkan atau mengurangkan pengambilan alkohol boleh mengurangkan risiko kanser payudara,” kata Dr Tan.
Jadi, adakah kita sebagai diri sendiri, keluarga, rakan-rakan atau bahkan doktor sedang menolak wanita yang melalui menopaus daripada mempunyai pilihan untuk mengambil Terapi Penggantian Hormon (HRT)? Berikan diri anda peluang untuk bersuara berbincanglah dengan pakar sakit puan anda hari ini.


