Dubai, 31 Oktober 2025 – Sugarbomb, jenama wangian tempatan Malaysia yang semakin mencipta nama di persada antarabangsa, sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya wakil dari ASEAN dalam pameran antarabangsa Beautyworld Middle East 2025 yang berlangsung pada 27 hingga 29 Oktober di Dubai World Trade Centre.
Ini merupakan tahun kedua berturut-turut Sugarbomb menyertai acara berprestij tersebut, dan tahun ini mereka tampil berani dengan memperkenalkan Sugarbomb Heritage Collection – koleksi eksklusif lima wangian ikonik: Bara Senja, Suci Nurani, Titis Embun, Seloka Malam, dan Gemersik Sutera.
Kolaborasi Givaudan & Tinta Sutera: sentuhan global dan warisan lokal
Menariknya, koleksi Heritage ini turut diiktiraf dan dibangunkan bersama Givaudan, salah satu syarikat pembekal minyak wangi terbesar dunia.


Kerjasama ini bukan sahaja mengangkat kredibiliti Sugarbomb sebagai jenama Malaysia bertaraf antarabangsa, tetapi turut menegaskan komitmen mereka terhadap kualiti dan inovasi.
Lebih istimewa, Sugarbomb turut berkolaborasi dengan Tinta Sutera, pengilang batik dari Kelantan, bagi mencanting motif batik eksklusif pada penutup setiap botol perfume.


Menariknya, tiada dua botol yang sama menjadikan setiap wangian ibarat karya seni yang memadukan tradisi dan modeniti.
“Kami bangga membawa warisan Malaysia ke pentas dunia melalui seni batik dan wangian. Ia bukan sekadar produk, tetapi cerminan identiti, budaya, dan inovasi bangsa,” ujar Pengasas Sugarbomb, Ahmad Azhari Rosli.
Dengan kejayaan berterusan, Sugarbomb kini telah menembusi pelbagai pasaran antarabangsa melalui pengedar rasmi di Dubai, Filipina, Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom, dan India.
Sasar pasaran global
Seterusnya, syarikat tersebut menyasarkan pasaran Eropah, Argentina dan Amerika Utara sebagai destinasi baharu untuk memperluas capaian global mereka.
Kejayaan ini membuktikan bahawa jenama tempatan mampu berdiri setanding dengan nama besar dunia, apabila disertai nilai budaya, kreativiti dan mutu yang konsisten.

Ditubuhkan oleh anak muda tempatan dengan visi besar untuk menjadikan Malaysia sebagai hab wangian Asia, Sugarbomb kini sinonim dengan inovasi dan kualiti bertaraf antarabangsa.
Dari kios kecil, kini mereka menjadi lambang kebanggaan jenama tempatan yang membawa nama Malaysia ke peringkat global.
Untuk maklumat lanjut sila layari https://www.sugarbombgroup.com atau boleh ikuti media sosial @sugarbombgroup


