Geneva, 21 Mei 2026 – Sektor kesihatan Malaysia terus melakar nama di pentas global apabila IHH Healthcare Malaysia (IHH Malaysia) menyertai Forum ASEAN Mengenai Penyakit Jarang Jumpa yang diadakan sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-79 (WHA79) di sini, baru-baru ini.
Langkah strategik itu menyaksikan Malaysia berjaya membawa model kerjasama awam-swasta (PPP) ke platform antarabangsa, sekali gus membuktikan komitmen negara dalam memacu pelaksanaan dasar kesihatan secara praktikal, khususnya dalam aspek kesihatan paru-paru.
Penyertaan ini susulan pelancaran LungShield pada 10 Mei lalu, iaitu kerjasama strategik antara IHH Healthcare Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Program ini akan menyediakan saringan paru-paru berstruktur kepada 10,000 anggota polis trafik di seluruh negara menerusi rangkaian 18 hospital IHH Healthcare Malaysia yang terdiri daripada Gleneagles Hospitals, Island Hospital, Pantai Hospitals, Prince Court Medical Centre dan Timberland Medical Centre.
Saringan paru-paru anggota polis trafik
Anggota polis trafik berdepan pendedahan berpanjangan kepada asap kenderaan, partikel udara dan pencemaran persekitaran ketika menjalankan tugas.
LungShield diwujudkan bagi menangani risiko kesihatan pekerjaan ini dengan membawa perkhidmatan saringan lebih dekat kepada kumpulan tenaga kerja yang dikenal pasti, termasuk akses kepada X-ray dada, imbasan CT dos rendah serta diagnostik lanjut atau pemeriksaan pakar sekiranya diperlukan secara klinikal.
Di WHA79, perbincangan tertumpu kepada bagaimana negara-negara dapat menterjemahkan keutamaan kesihatan paru-paru daripada dasar kepada pelaksanaan, termasuk pengesanan awal, diagnostik, kesihatan tenaga kerja, ekonomi kesihatan, data dan penjagaan bersepadu.

LungShield diketengahkan sebagai contoh praktikal bagaimana kepimpinan sektor awam dan kapasiti penjagaan kesihatan swasta dapat bekerjasama bagi merapatkan jurang penyampaian perkhidmatan.
Kerjasama awam-swasta tingkat keberkesanan LungShield
Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia Dr Kamal Amzan berkata, LungShield menunjukkan bagaimana kerjasama awam-swasta dapat diterjemahkan daripada konsep kepada pelaksanaan.
“Apabila kepimpinan nasional disokong oleh kepakaran klinikal dan kapasiti operasi, kita mampu mencapai kumpulan berisiko tinggi lebih awal serta menyediakan laluan penjagaan yang lebih jelas.
“Keutamaan dalam kesihatan paru-paru bukan hanya rawatan, tetapi juga masa dan akses. Jika individu dikenal pasti terlalu lewat, beban klinikal dan ekonomi akan menjadi lebih besar.

“Peranan kami adalah untuk menyokong keutamaan negara secara praktikal dengan membantu menterjemahkan dasar kepada penjagaan yang boleh dilaksanakan di lapangan,” katanya.
Kepentingan intervensi awal
Perbincangan di Geneva turut menegaskan kepentingan intervensi awal dalam memastikan kelestarian penjagaan kesihatan jangka panjang.
Ke hadapan, IHH Healthcare Malaysia akan terus bekerjasama dengan rakan strategik nasional dalam melaksanakan LungShield, sambil berkongsi pembelajaran daripada program ini dalam perbincangan lebih meluas berkaitan kesihatan paru-paru pekerjaan dan penjagaan kesihatan berasaskan pencegahan.


