CYBERJAYA, 24 Jun 2026 – TV AlHijrah melakar satu lagi sejarah penting dalam landskap penyiaran Islam negara apabila meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-16 menerusi pelancaran AlHijrah Media Nexus (AMN), sebuah pusat sokongan operasi baharu di sini, baru-baru ini.
Majlis pelancaran AMN tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Zulkifli Hassan serta disaksikan oleh Pengerusi TV AlHijrah, barisan Ahli Lembaga Pengarah dan warga kerja organisasi.

Penubuhan AMN direka sebagai langkah strategik stesen penyiaran berkenaan untuk memperkukuh kesinambungan operasi melalui penyediaan infrastruktur sokongan yang lebih moden, selamat dan responsif.
Kemudahan tersebut turut dilengkapi dengan sebuah studio mini bagi menyokong keperluan penerbitan kandungan digital dan penyiaran semasa.
Pemacu transformasi digital & operasi
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, sambutan ulang tahun ke-16 ini merupakan titik permulaan kepada agenda transformasi yang lebih menyeluruh bagi memastikan stesen itu terus kekal relevan dan diyakini masyarakat.
“Selama 16 tahun, TV AlHijrah telah berkembang sebagai sebuah platform penyiaran yang membawa mesej ilmu, dakwah, dan inspirasi kepada rakyat Malaysia.
“AMN merupakan pelaburan strategik yang mencerminkan kesediaan kami untuk terus berkembang seiring dengan perubahan landskap media dan teknologi yang semakin pantas, sekali gus memastikan perkhidmatan penyiaran yang disampaikan kepada penonton terus kekal stabil serta selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah beliau, sebagai media Islam yang menggalas amanah dakwah dan pembangunan masyarakat, TV AlHijrah perlu sentiasa bersedia untuk memenuhi keperluan industri serta jangkaan penonton yang sentiasa berkembang.
Inisiatif Bincang Niaga 2026 bantu usahawan
Sempena sambutan itu juga, TV AlHijrah turut memperkenalkan kempen Bincang Niaga 2026 bermula 22 Jun hingga 31 Julai 2026. Inisiatif ini dirangka khas bagi membantu golongan usahawan, syarikat dan organisasi memanfaatkan kekuatan ekosistem media TV AlHijrah.
Melalui program ini, para peserta berpeluang meneroka pelbagai platform promosi merangkumi televisyen, media sosial, dan aset digital dengan sokongan strategik daripada pasukan profesional TV AlHijrah.
Sebagai galakan, potongan diskaun istimewa sehingga 40 peratus turut ditawarkan kepada peserta yang mendaftar dalam tempoh promosi.
Sajian pengisian khas pembangunan ummah

Bagi menghargai sokongan penonton, stesen penyiaran itu turut menyajikan rangkaian program menarik yang menekankan nilai perpaduan, kasih sayang, dan pembangunan ummah.
Antara pengisian istimewa yang disediakan termasuklah siaran khas Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun, rancangan Dakwah Live: Hijrah Ummah, Assalamualaikum Khas Awal Muharam, serta rancangan bual bicara Dari Hati: Wanita.
Selain itu, penonton turut dihidangkan dengan tayangan telefilem Sujudku pada 20 Jun ini jam 9 malam, serta drama pendek Bukan Kerana Itu yang bakal menemui penonton setiap hari bermula 1 Julai depan pada jam 10 pagi dan 4 petang.


