Hajat untuk membeli-belah sewaktu perjalanan pulang dari Kuantan, Pahang menuju ke Ipoh, Perak pada musim Hari Raya lalu membuahkan hasil luar biasa buat Salamiyah Mohamad, 48, apabila beliau dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Utama kempen Jom Balik Kampung bersama SOGO dan Bank Islam.
Pensyarah berkenaan berjaya memandu pulang sebuah kenderaan sukan pelbagai guna (SUV) Perodua Traz 1.5H 2T (D-CVT) baharu hanya menerusi perbelanjaan bernilai RM250 yang dibuatnya ketika singgah di pusat beli-belah berkenaan.
Kemenangan bermakna itu dimuktamadkan pada acara kemuncak penutup kempen yang berlangsung penuh debaran di dewan acara SOGO pada 22 September lalu, menyaksikan lima lagi peserta memenangi Hadiah Kedua berupa Akaun Emas Bank Islam-i (BIGA-i) bernilai RM15,000 setiap seorang.

Sementara itu, seramai 15 finalis lain tidak pulang berhampa tangan apabila masing-masing membawa pulang Hadiah Saguhati berupa baucar beli-belah SOGO bernilai RM2,000, melengkapkan keseluruhan nilai hadiah terkumpul melebihi RM189,000.
Tradisi ikonik SOGO beri ganjaran lumayan
Penganjuran kempen nasional yang berlangsung dari 20 Februari hingga 31 Mei lalu itu meneruskan tradisi ikonik SOGO dalam memberi ganjaran lumayan kepada pelanggan setianya bersempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Tahun ini menandakan tahun kedua berturut-turut kolaborasi strategik antara SOGO dan Bank Islam dalam memanjakan para pembeli menerusi setiap perbelanjaan harian mereka.
Kempen ini mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai apabila berjaya mengumpul hampir 26,000 penyertaan secara keseluruhan dari seluruh negara.

Bagi menyertai peraduan ini, pembeli hanya perlu berbelanja minimum RM150 dalam satu resit, di mana ahli SOGO menerima satu penyertaan manakala pemegang i-Card Bank Islam mendapat kelebihan gandaan dua penyertaan.
Daripada puluhan ribu penyertaan tersebut, seramai 21 finalis bertuah termasuk Salamiyah telah dipilih untuk bersaing secara langsung di dewan acara SOGO bagi menentukan gelaran juara.
Acara kemuncak penuh debaran
Acara kemuncak itu menampilkan kejohanan dua peringkat yang cukup mendebarkan, bermula dengan pusingan Peel-2-Advance di mana semua 21 finalis menggores pelekat pada kad khas untuk mendedahkan nombor tersembunyi bagi memilih enam peserta dengan mata tertinggi ke peringkat akhir.

Kemuncak persaingan disusuli pusingan Key-2-Victory, di mana enam finalis akhir dikehendaki memilih dan menarik satu kunci pilihan masing-masing dari papan permainan untuk mendedahkan ukuran panjang tersembunyi.
Salamiyah akhirnya diumumkan sebagai pemenang utama selepas berjaya menarik kunci paling panjang, manakala lima peserta lain menerima ganjaran Akaun Emas Bank Islam-i bernilai RM15,000 setiap seorang.


