Bagi pencinta kulinari tempatan, mencari lokasi yang menyajikan pelbagai resipi autentik dari pelbagai negeri di bawah satu bumbung bukanlah satu perkara mudah.
Namun, Warong Jendela Kaseh yang dibuka baru-baru ini di Shah Alam tampil memberi keunikan tersendiri dengan mengetengahkan hidangan tradisional ‘Satu Malaysia’ yang membangkitkan nostalgia.
Diasaskan oleh Hajjah Wan Rafidah Wan Ali, warung ini lahir daripada hasrat menghidupkan semula suasana warung tradisional sebagai tempat keluarga, jiran tetangga, dan sahabat berkumpul.
Berpegang kepada aspirasi “Bukan Sekadar Rasa, Ini Kisah Kita”, Warong Jendela Kaseh berhasrat menyatukan generasi melalui kenangan, cerita dan nilai kebersamaan.
Sentuhan seni visual & deko vintaj


Keunikan warung ini bukan sahaja terletak pada menunya, malah pada konsep visualnya. Identiti utamanya dibentuk menerusi hiasan jendela-jendela klasik, lukisan suasana kampung, rumah tradisional dan dekorasi vintaj yang serta-merta membawa pengunjung mengimbau memori lalu.
Menerusi susun atur khas bertemakan “Setiap Jendela Ada Kisah”, setiap ruang direka untuk memberi suasana penuh nostalgia dan mesra keluarga.


Majlis perasmian warung ini turut disempurnakan oleh Dato’ Muhammad Nasir bin Haji Hamzah, Pengerusi Bersama Kumpulan Media Karangkraf.
Makanan mempunyai kuasa tersendiri untuk menyatukan insan, dan kehadiran warung ini diharapkan dapat membawa pulang pengalaman yang mengingatkan pelanggan kepada kehangatan kampung halaman.
Sajian autentik dari Timur ke Selatan
Warong Jendela Kaseh memastikan setiap hidangan yang disajikan mengekalkan keaslian rasa asal dari pelbagai pelosok negara. Antara keunikan utama di sini adalah Nasi Dagang Air Dingin yang diterbangkan khas dari Kelantan seawal jam 6 pagi setiap hari bagi menjamin kesegarannya.




Selain itu, warung ini turut bekerjasama dengan vendor tempatan untuk membekalkan pelbagai sajian selera Pantai Timur lain seperti Laksa Terengganu dan Nasi Kerabu Ayam Bakar.
Bagi penggemar makanan dari wilayah Selatan pula, hidangan seperti Asam Pedas Melaka yang kaya dengan rempah-ratus, Mee Rebus Bandar, Lontong Mak Lodeh, Mee Bandung dan Laksa Johor turut disediakan untuk melengkapkan kembara rasa para pengunjung.
Menu signature & sentuhan chef antarabangsa
Bercakap mengenai menu popular (signature dish), hidangan tempatan seperti Masak Lemak Ayam, Daging Masak Lemak, Soto Sup Tulang, Nasi Sup Tulang bersama Telur Dada, dan Gulai Kawah Daging merupakan antara pilihan utama yang disediakan sendiri menggunakan resipi khas.

Menariknya, pada setiap hari Khamis, Warung Jendela Kaseh menawarkan variasi berbeza menerusi keistimewaan Arabian Feast.
Hidangan Nasi Arab ini dimasak khas oleh chef dari Mesir menggunakan rempah-ratus asli dari Algeria untuk sajian penuh rasa yang cukup autentik.
Kualiti terjaga pada ‘harga marhaen’
Meskipun menyajikan hidangan yang berkualiti tinggi dengan persekitaran yang selesa, pihak pengurusan komited untuk mengekalkan julat harga yang mesra poket. Dengan julat harga bermula daripada RM4.50 hingga RM16.90, setiap hidangan disediakan menggunakan bahan-bahan segar bersama layanan mesra.
Memandangkan sambutan yang menggalakkan, pihak pengurusan merancang untuk meluaskan lagi perniagaan ke kawasan yang lebih terbuka pada masa hadapan bagi menampung lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar Shah Alam.
Maklumat operasi
Bagi yang mahu merasai sendiri kehangatan sajian dan suasana di sini, berikut adalah maklumat ringkas untuk kunjungan anda:
- Waktu Operasi: 7:00 Pagi – 6:00 Petang (Isnin hingga Sabtu | Cuti: Ahad)
- Hidangan Istimewa: Nasi Dagang Kelantan (Harian), Soto & Sup Tulang, Nasi Kerabu, dan Arabian Feast (Khamis Sahaja).


