PETALING JAYA, 9 Ogos 2026 – Paya Bunga Hotel terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam segmen hospitaliti mesra Muslim apabila dimahkotakan sebagai Best Muslim Friendly City Hotel di Malam Gala Tourism Industry Award 2026 (TIA2026) yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, di sini semalam.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Pelancongan MOTAC, Chua Choon Hwa kepada Pengurus Besar Paya Bunga Hotel, Zulkifly Mohd Yusof. Majlis gprestij tersebut turut dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Kejayaan ini melengkapi pencapaian berprestij hotel berkenaan selepas baru-baru ini turut menerima pengiktirafan Malaysia Friendly Association & Recognition (MFAR) bertaraf Platinum.
Komitmen berterusan warga kerja
Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Zulkifly menegaskan bahawa pengiktirafan TIA2026 merupakan bukti komitmen seluruh warga kerja hotel dalam memelihara standard perkhidmatan yang tinggi.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar pencapaian kepada Paya Bunga Hotel, tetapi satu pengiktirafan terhadap usaha seluruh warga kerja kami. Selepas menerima MFAR Platinum, kejayaan di TIA2026 menjadi motivasi untuk kami terus memperkukuhkan standard hotel di peringkat nasional,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa konsep mesra Muslim yang diamalkan bukan sekadar tertumpu kepada penyediaan kemudahan asas, sebaliknya merangkumi keseluruhan pengalaman tetamu termasuk aspek perkhidmatan, keselesaan, kebersihan, penyediaan makanan dan minuman, serta persekitaran yang patuh syariah.
Pemangkin sektor pelancongan negeri Terengganu

Anugerah di TIA2026 yang mempertandingkan 133 kategori pengiktirafan itu turut dihadiri oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Paya Bunga Hotel, YB Ustaz Haji Ahmad Shah Muhamed, serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Tuan Haji Abdul Hadi Alias.
Pengiktirafan berkembar ini dijangka terus melonjakkan nama Paya Bunga Hotel sebagai pilihan utama penginapan bandar di Terengganu, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor pelancongan negeri menerusi tawaran hospitaliti yang berkualiti tinggi dan berdaya saing di peringkat nasional.


