Satu inisiatif strategik bagi memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara direalisasikan menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Letter of Understanding (LoU) sempena Seminar Gerakan Memperkasa Skil & Industri TVET Negara (GEMERSIT BUMI) yang berlangsung di Hotel Tamu, Kampung Baru, baru-baru ini.
Program anjuran KLNET Akademi di bawah naungan KESO Legacy Network bersama Pertubuhan Gandingan Gerak Pengguna Malaysia (PGGPM) ini menghimpunkan rakan strategik daripada agensi kerajaan, sektor korporat, institusi latihan, badan profesional, serta persatuan industri.

Langkah bersepadu ini bertujuan membuka akses lebih luas kepada latihan kemahiran, pembangunan kompetensi, penempatan kerjaya, serta keusahawanan berasaskan kemahiran buat seluruh lapisan masyarakat.
Mendorong TVET daripada latihan kemahiran kepada menjana pendapatan
GEMERSIT BUMI memberi perhatian khusus kepada pembangunan bakat dalam kalangan belia, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar berorientasikan kemahiran, golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, serta komuniti yang memerlukan sokongan ekonomi.
Menerusi majlis pemeteraian kerjasama ini, fokus utama diberikan kepada konsep Pelatihan, Penempatan dan Pendapatan (3P) bagi memastikan latihan yang diterima pesertanya selari dengan permintaan pasaran kerja semasa.

“TVET bukan sekadar laluan alternatif kepada pendidikan akademik, sebaliknya merupakan landasan penting untuk melahirkan tenaga kerja kompeten, usahawan berkemahiran, dan tenaga profesional yang mampu memenuhi keperluan industri semasa serta masa hadapan.
“Pendekatan GEMERSIT BUMI adalah untuk merapatkan jurang antara latihan dan keperluan sebenar industri, sekali gus membimbing peserta membina kerjaya, meneroka pekerjaan kendiri, serta menyertai aktiviti keusahawanan yang berdaya maju.”
— Jawatan Kuasa Penganjur GEMERSIT BUMI
Antara sektor berpotensi tinggi yang bakal diteroka merangkumi bidang kecantikan dan kesejahteraan, hospitaliti, kulinari, perkhidmatan makanan dan minuman (F&B), pelancongan, teknologi digital, serta kemahiran khusus industri.
Menangkat industri emas dan perhiasan menerusi latihan teknikal

Satu kelainan utama yang dibawakan oleh GEMERSIT BUMI ialah pendedahan khusus kepada industri emas dan perhiasan diri menerusi kepakaran KESO Legacy Network dan KLNET Akademi.
Kerjasama ini bertujuan mengubah persepsi masyarakat agar melihat industri emas bukan sekadar perniagaan jual beli fizikal semata-mata, malah sebagai sektor yang memerlukan kemahiran teknikal tinggi, ketelitian, etika, dan nilai estetika.
“Penglibatan KESO Legacy Network membolehkan kami menyambung jaringan kepakaran industri emas terus kepada ekosistem TVET. Kami mahu menggalakkan lebih ramai belia melihat industri emas sebagai bidang profesional yang memerlukan ketelitian teknikal, reka bentuk, penilaian serta pengurusan perniagaan yang mantap.
Wakill KESO Legacy Network & KLNET Akademi
“Program pensijilan dan latihan akan dirangka secara bersasar dengan mengambil kira standard pekerjaan serta garis panduan pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).”
Hak pengguna dan kelestarian industri
Selain aspek keusahawanan dan kerjaya, kerjasama bersama PGGPM turut memastikan penekanan diberikan kepada aspek literasi pengguna, pematuhan undang-undang, serta ketelusan transaksi emas.
“Kelestarian industri emas memerlukan keseimbangan antara pertumbuhan perniagaan, pembangunan tenaga kerja, dan kepercayaan pengguna. Menerusi kerjasama dengan PGGPM, kami menekankan kesedaran mengenai ketulenan emas dan hak pengguna agar industri ini terus berkembang secara telus dan berintegriti.”
— Jurucakap PGGPM
Penganjuran GEMERSIT BUMI diharapkan menjadi titik permulaan kepada ekosistem TVET yang lebih inklusif, relevan dan berdaya saing dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi buat negara.


