Institut Jantung Negara (IJN) menjenamakan semula stesen MRT Raja Uda – Institut Jantung Negara dalam usaha meningkatkan akses kepada penjagaan jantung di samping memperkukuh hubungan antara pengangkutan awam dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya berkata, melalui kerjasama itu, nama IJN kini menjadi sebahagian daripada identiti stesen tersebut yang terpapar pada papan tanda, peta laluan dan pengumuman di dalam tren sepanjang Laluan MRT Putrajaya.
Menurut beliau, ia juga merupakan satu lagi pencapaian penting dalam menjadikan penjagaan pakar lebih mudah diakses oleh masyarakat di mana penjenamaan itu memberikan panduan yang lebih jelas kepada pesakit, keluarga, pelawat, pelajar, dan kakitangan dalam perjalanan ke hospital.
Bagi IJN, inisiatif ini bukan sekadar penjenamaan stesen kerana ia mencerminkan komitmen berterusan institusi tersebut untuk meningkatkan aksesibiliti dengan menyedari bahawa perjalanan pesakit bermula jauh sebelum mereka tiba di hospital.
Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN
“Hari ini, usaha kami bukan sekadar menghubungkan stesen MRT dengan hospital dan mewujudkan peluang untuk menghubungkan lebih ramai orang dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Bagi ramai pesakit kami dan keluarga mereka, perjalanan ke IJN bermula sebelum mereka tiba di pintu hospital di mana pengalaman penjagaan kesihatan itu menjadi lebih mudah, selesa, dan senang diakses,” katanya.
Majlis tersebut disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud serta Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim.
Terokai program kesedaran dan saringan kesihatan jantung
Mengulas lanjut, Dr Shaiful Azmi menambah, sebagai pusat pakar jantung negara, IJN bukan sahaja menerima pesakit dari seluruh Malaysia malah dari luar negara di mana perjalanan mereka mendapatkan rawatan bermula dari rumah sebelum melangkah masuk ke hospital.
Jelas beliau, IJN melihat potensi jauh kerjasama ini melangkaui kemudahan perjalanan kerana berharap dapat meneroka menerusi pendidikan kesihatan, kempen kesedaran, dan program saringan terpilih yang membawa maklumat serta penjagaan kesihatan lebih dekat kepada masyarakat.
“Ribuan warga kota menggunakan MRT setiap hari dan bayangkan sekiranya perjalanan harian mereka turut menjadi peluang untuk mempelajari sesuatu tentang kesihatan jantung.
“Kami juga ingin menyatakan kesediaan IJN untuk bekerjasama dengan pihak kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memperluas inisiatif kesihatan jantung di seluruh Kuala Lumpur.
“Dengan menggabungkan kepakaran IJN dan jaringan kemudahan bandar raya, kita berpeluang menggalakkan pengesanan awal, pencegahan penyakit serta gaya hidup lebih sihat dan aktif.”
— Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN
Laluan pejalan kaki berbumbung dan pengesanan awal

Sementara itu, Hannah turut memuji kerjasama kerana merupakan satu langkah yang dialu-alukan ke arah memudahkan urusan kunjungan ke hospital bagi pesakit dan keluarga mereka.
“Kita juga perlu meneliti bagaimana pesakit sampai ke hospital, terutamanya warga emas dan mereka yang mempunyai pergerakan terhad. Saya mengalu-alukan komitmen DBKL untuk menaja laluan pejalan kaki berbumbung menuju ke IJN.
Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)
“Saya juga berharap agar kita dapat meneroka kerjasama dengan IJN dalam aspek kesedaran kesihatan jantung serta saringan awal di Kuala Lumpur.
“Kita harus membantu orang ramai mengesan masalah kesihatan lebih awal, dan bukannya menunggu sehingga mereka memerlukan rawatan di hospital,” katanya.


