Setiap kali bulan Ramadan dan Syawal menjelma, ada satu acara yang sentiasa dinanti ramai — Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya (ABxFGR). Bukan sekadar bazar, inilah festival Raya paling besar dan paling happening di Malaysia!
Tahun depan, ABxFGR kembali dengan sesuatu yang lebih luar biasa: bukan saja berlangsung di Kuala Lumpur, tapi juga akan terbang jauh ke Pulau Pinang, Brunei dan buat pertama kali dalam sejarah — London!
Dari lokal ke global
ABxFGR bukan nama asing lagi. Diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai Festival Raya Terbesar dua tahun berturut-turut, ia sudah menjadi “destinasi wajib” untuk sesiapa saja yang mahu merasai kemeriahan membeli-belah dan gaya hidup Raya di bawah satu bumbung.

Tahun 2026 bakal jadi lebih istimewa. Bermula di Brunei (27 Feb – 1 Mac), kemudian ke Pulau Pinang (6 – 8 Mac), diikuti Kuala Lumpur (13 – 16 Mac) — festival ini akhirnya akan berlabuh di Exhibition White City, London (2 – 3 Mei) untuk sebuah versi baharu bernama Absolut Bazaar x MYExpo.
Kalau edisi di Malaysia dan Brunei lebih fokus pada suasana Raya, versi London pula membuka peluang untuk usahawan tempatan masuk pasaran Eropah.
Bayangkan, produk halal, fesyen tradisional dan makanan Malaysia diperkenalkan kepada dunia — memang berkelas antarabangsa!
Bukan sekadar shopping Raya
Apa yang buat ABxFGR lain daripada yang lain? Ia bukan sekadar tempat membeli-belah. Bayangkan suasana penuh warna-warni dengan deretan butik fesyen, gerai kecantikan, dekorasi rumah, dan pelbagai pilihan juadah Raya.

Tak lengkap kalau tak singgah ke Mini Absolut FoodFest — syurga makanan mini dengan lebih 30 vendor yang sedia hidangkan menu iftar dan sahur yang unik. Di sinilah pengunjung boleh mencuba pelbagai cita rasa, daripada klasik tradisional sampai ke fusion moden.
“Dengan penambahan Brunei dan London sebagai lokasi baharu, ABxFGR bakal mengembangkan lagi peluang bagi usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Ben Ali
Dan kalau anda jenis yang suka cabaran, ada aktiviti menyeronokkan seperti Wheel of Fortune, Money Chamber dan Happy Hour Sales — sambil membeli-belah, sambil berpeluang menang hadiah wang tunai.
Menurut Pengarah Urusan Absolut Events & Management, Nur Ali Nadzwan atau lebih dikenali sebagai Ben Ali, sejak empat tahun lalu, ABxFGR sudah mencipta angka yang luar biasa: lebih 7.9 juta pengunjung, RM62.6 juta hasil jualan, lebih 2,000 usahawan dan 400 jenama tempatan terlibat.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa ABxFGR bukan sahaja menjadi ‘one-stop centre’ untuk membeli-belah dan beraya, malah berperanan besar dalam menjana impak ekonomi kepada usahawan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Pada masa yang sama, ia membuka peluang baharu dalam pasaran domestik serta antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan ABxFGR sebagai festival membeli-belah dan gaya hidup Raya paling berprestij di rantau ini.
Ia juga jadi medan yang menghubungkan peniaga kecil dengan peluang besar — satu bukti nyata bagaimana gaya hidup dan perniagaan boleh bergabung dengan penuh energi.
Ruang terhad, sambutan hangat
Tak hairanlah bila sambutan untuk ABxFGR 2026 sangat menggalakkan. Edisi Kuala Lumpur kini hanya tinggal 5% ruang booth, manakala Pulau Pinang pula sekitar 25% slot sahaja. Nampaknya ramai usahawan tak mahu terlepas peluang berada di festival Raya paling ikonik ini.
Sambutan hangat ini membuktikan keyakinan jenama dan peniaga terhadap potensi penyertaan dalam festival Raya paling berprestij di rantau ini.
Justeru, pempamer yang berminat digesa untuk segera mengesahkan penyertaan bagi mengelakkan terlepas peluang keemasan ini.
✨ Dari pengalaman membeli-belah, menjamu selera hinggalah ke peluang menembusi pasaran global, ABxFGR 2026 bakal jadi lebih daripada sekadar festival Raya.
Ia simbol bagaimana budaya Malaysia boleh diraikan dan dikongsikan dengan dunia. Jadi, adakah anda sudah bersedia untuk Raya yang lebih bergaya tahun depan?