IBARAT semakin berisi, semakin tunduk. Itu pepatah sesuai digambarkan buat salah satu kumpulan korporat terbesar milik Bumiputera dari Sarawak, SOCC Holdings Sdn Bhd (SOCC Holdings).
Biarpun semakin kukuh melebar empayar perniagaan, jati diri bangsa tidak pernah sekali dilupakan sebaliknya, kelebihan yang ada itu menjadi batu loncatan untuk memartabatkan keunikan pelbagai budaya negeri kepada orang ramai.
Ia dibuktikan menerusi penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri dan Gawai yang bertemakan festival Sarawak baru-baru ini.
Pegawai Eksekutif SOCC Holdings, Amin Aznizan berkata, majlis itu diadakan buat pertama kali di mana kesemua rangkaian syarikat SOCC Holdings apabila kepakaran dan persiapan yang didatangkan khas dari Sarawak.
“Majlis yang berkonsepkan festival dari bumi Kenyalang agar kita semua dapat berkongsi budaya masyarakat etnik Sarawak yang unik daripada segi makanan dan kebudayaan.
“Ia bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan silaturahim sesama rangkaian kumpulan, namun ia untuk meraikan rakan niaga korporat dan pelanggan yang banyak memberi sokongan kepada kami.
“Saya percaya ia peluang yang baik untuk mengeratkan hubungan dan berkongsi semangat kebersamaan sambil meraikan dua acara kebudayaan yang penting di negara kita,” katanya.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan bergendang dan bermukun iaitu dram tradisional Sarawak lengkap dengan violin sertai pantun dan joget serta tarian Ngajat.
Turut diadakan penyampaian biasiswa kepada SOCC Holdings menerusi Technology College Sarawak, (TCS College) kepada golongan yang kurang berkemampuan khususnya bagi anak Sabah dan Sarawak.
Mengenai bidang bisnes, Amin memberitahu, anak syarikatnya yang mengendalikan dan mengurus katering di pelantar minyak pesisir pantai negara, SOCC Offshore Sdn. Bhd. (SOCC Offshore) yakin dapat kekal beroperasi dengan rekod masa 10 juta tanpa sebarang insiden kemalangan, sejak 30 tahun lalu.
SOCC Offshore sebelum ini dikenali sebagai Sribima Offshore Catering Services Sdn Bhd adalah anak syarikat milik SOCC Holdings Sdn Bhd (SOCC Holdings) berpangkalan di Miri, Sarawak sejak 1983.
Syarikat itu berteraskan perniagaan penyediaan perkhidmatan katering berkualiti dalam industri petrokimia luar pesisir Sarawak dan Pantai Timur.
Selain itu, anak syarikat lain termasuk SMTC Global, TCS College, AnakMiri Kitchen, Kedey Kamek, Nang Haus, Seahorse Seafood, CQ Music, CQ Travel dan Borneo To The World.