Persaingan All Star Influencers Award (ASIA) 2026 semakin hangat apabila peserta tahun ini tampil dengan kandungan media sosial lebih berkualiti, kreatif dan menarik, sekali gus menjadikan perebutan bagi setiap kategori lebih sengit.
Bukan sekadar menghasilkan kandungan untuk menarik perhatian, peserta ASIA2026 turut menunjukkan tahap komitmen tinggi sepanjang program, termasuk menerusi perkongsian pengalaman mereka meneroka pelbagai destinasi, makanan dan budaya di Malaysia.
Himpun lebih 120 pempengaruh dari 20 negara
Tahun ini, ASIA2026 menghimpunkan lebih 120 pempengaruh dari 20 negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja, Rusia, Jepun, Uzbekistan, Kazakhstan, Vietnam, Pakistan, India, Arab Saudi, Filipina, Korea Selatan, Taiwan, Kyrgyzstan, Laos, Turkiye, China dan Singapura.

Pengasas ASIA, Dato Abd Rahman Soltan berkata, peningkatan kualiti kandungan serta komitmen yang ditunjukkan peserta menjadikan proses pemilihan pemenang bagi setiap kategori semakin mencabar.
“Kalau kita lihat tahun ini, persaingan memang lebih sengit. Ramai influencer baharu yang pertama kali menyertai ASIA dan mereka bersaing bersama influencer yang sudah berpengalaman.
“Yang menariknya, kualiti video dan komitmen yang diberikan juga sangat bagus. Jadi, untuk menentukan pemenang bagi setiap kategori bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Sejak diperkenalkan sejak 2023, ASIA turut menyaksikan pemenang dari negara berbeza apabila Ahieb Reborn dari Indonesia dinobatkan pada edisi pertama, diikuti Saal Haerid dari Indonesia pada 2024 dan Cindy dari Vietnam pada 2025.
13 kategori pertandingan ketengah identiti, kreativiti
Tahun ini, sebanyak 13 kategori dipertandingkan, antaranya Best Gourmet Story Award (Individual), Best Storyteller Award (Individual), Best New Mixed Dance Award (Group), The People’s Choice Award (Individual), Best Culture Curator Award (Group), Best Comedy Maestro Award (Individual) dan Best Mixed Language Award (Group).
Menurut Dato Abd Rahman, kepelbagaian kategori itu memberi ruang kepada peserta untuk mengetengahkan kekuatan, kreativiti dan identiti masing-masing menerusi kandungan yang dihasilkan.
Promosi pelancongan Malaysia menerusi siri jelajah digital
Menurut beliau, perjalanan ASIA2026 turut disusun dalam beberapa siri trip ke destinasi berbeza di Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan negara menerusi kandungan digital.
Ketika ini, siri perjalanan ASIA2026 bermula di Johor, Negeri Sembilan seterusnya ke Perak-Kuala Lumpur dan Terengganu-Pahang sebelum ke Langkawi, Pulau Pinang dan Perlis serta bakal diteruskan dengan trip terakhir ke Sabah.
“Program ini bukan sekadar pertandingan influencer. Kita mahu mereka mengenali Malaysia dengan lebih dekat melalui pengalaman sebenar, termasuk aktiviti, makanan dan kebudayaan yang ada di setiap destinasi.
“Semua pengalaman ini kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk kandungan digital untuk diperkenalkan kepada pengikut mereka di seluruh dunia,” katanya.
Kerjasama MOTAC promosi kempen Visit Malaysia 2026
ASIA2026 turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia, khususnya dalam usaha mempromosikan Malaysia bersempena kempen Visit Malaysia 2026.
Menurut Dato Abd Rahman, konsep berkenaan membolehkan pelbagai destinasi dan pengalaman di Malaysia diketengahkan menerusi perspektif berbeza daripada influencer yang mempunyai latar belakang serta audiens masing-masing.
Capai lebih 500 juta tontonan digital menerusi tanda pagar rasmi
Dalam pada itu, sambutan terhadap kandungan ASIA2026 di platform digital juga amat memberangsangkan apabila tanda pagar #AllStarInfluencersAward2026 kini mencatat lebih 500 juta tontonan.
“Angka itu sangat positif dan kita menjangkakan jumlah tontonan digital akan terus meningkat dari semasa ke semasa sepanjang program ini berlangsung.
“Ini menunjukkan kandungan yang dihasilkan peserta bukan sahaja mendapat perhatian di Malaysia, tetapi turut membuka peluang untuk memperkenalkan destinasi dan pengalaman Malaysia kepada audiens antarabangsa,” katanya.
Rebut hadiah AS$10,000, pakej percutian
Dengan hanya satu lagi perjalanan ke Sabah sebelum kemuncak acara, perhatian kini turut terarah kepada malam gala yang dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober depan.
Menurut Dato Abd Rahman, persaingan bagi setiap kategori, termasuk Best Influencers, dijangka terus sengit memandangkan setiap peserta memberikan komitmen terbaik sepanjang program.
“Masing-masing sudah memberikan yang terbaik. Jadi, pemilihan untuk setiap kategori, termasuk Best Influencers, dijangka sangat sengit.
DATO ABD RAHMAN
“Kita tengok siapa yang benar-benar konsisten dari segi kandungan, kreativiti dan komitmen sepanjang program,” katanya.
Bagi pemenang Best Influencers, hadiah yang ditawarkan tahun ini turut menjadi antara tarikan utama apabila pemenang bakal membawa pulang wang tunai sebanyak AS$10,000, selain pakej percutian ke luar negara.
Malam gala ASIA2026 pada Oktober depan bakal menjadi kemuncak kepada perjalanan peserta yang bukan sahaja berentap untuk merebut pengiktirafan, tetapi turut membawa misi memperkenalkan Malaysia kepada dunia menerusi pengaruh dan kekuatan kandungan digital.


