KUALA LUMPUR, 4 Februari – Kumpulan Pendidikan As Sofa telah melancarkan pembangunan kampus tetap Kolej As Sofa pada satu Majlis Makan Malam Amal dan Apresiasi di Hotel InterContinental Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Pembangunan Kompleks Pendidikan As Sofa dengan keluasan kira-kira 35 ribu kaki persegi itu akan dibina di Rembau, Negeri Sembilan dengan anggaran kos sebanyak RM15 juta dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Mohd. Amirul Isma Md. Yusof, berkata pada awalnya kampus tersebut dipilih untuk dibina di Mantau, kemudian Hulu Langat tetapi lokasi tersebut didapati tidak sesuai atas faktor tanah dan bekalan elektrik yang tidak mencukupi bagi menampung pembangunan kompleks itu.

“Selepas mengadakan perbincangan bersama Yang Teramat Mulia Dato’ Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Abd Rahim Yassin yang telah mencadangkan agar pembinaan dibuat di Rembau.
“Bermula dari situlah, langkah pertama untuk kami merealisasikan pembinaan kampus tetap Kolej Islam As Sofa,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis tersebut.
Tambahnya lagi, dana terkumpul setakat ini berjumlah RM150,000 dan pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan bagi pembinaan kolej tersebut.
Alu-alukan dana pembinaan
“Dana masih belum mencukupi dan kami amat berbesar hati sekiranya masyarakat dan pihak korporat dapat membantu dengan cara menyalurkan dana supaya pembinaan bangunan itu dapat direalisasikan,” katanya lagi.
Terdahulu, Majlis Makan Malam Amal dan Apresiasi Akademik As Sofa telah disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Dato’ Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Abd Rahim Yassin.

Selain turut dihadiri Pengerusi Kolej Islam As Sofa, Datuk Dr Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin bersama empat ulama Arab Saudi keturunan Sayyid Ahmad Ibn Idris iaitu Prof Dr Sayyid Toha ibn Sayyid Muhammad al Hasan al Idrisi, Sayyid Walid ibn Sayyid Muhammad al Mahdi al Idrisi, Sayyid Ali ibn Sayyid Muhammad al Mahdi al Idrisi dan Dr Sayyid al Hasan ibn Sayyid Ali al Idrisi.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Dr Muhd Sufi Ibrahim al Hafiz berkata, antara syarat untuk mendapatkan status kolej universiti adalah kolej tersebut mestilah berupaya menampung minimum 1,000 pelajar dan mempunyai program yang diakreditasi.
“Setakat ini, kami mempunyai empat program dengan dua daripadanya telah mendapat kelulusan akreditasi dan syarat lain adalah 60 peratus pensyarah haruslah mempunyai Phd ataupun Ijazah Doktor Falsafah.
Dr Muhd Sufi Ibrahim al Hafiz
Tegasnya, sejak penubuhan pada 1997, As Sofa sentiasa menekankan pendidikan dengan tiga elemen utama, iaitu; pendidikan akademik, tahfiz dan juga ilmiah yang bermula daripada tadika (pra sekolah) hingga ke Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

Katanya lagi, Kolej Islam As Sofa mempunyai keunikan tersendiri dengan menekankan elemen tarbiah dan turath, selain memiliki hubungan eksklusif dengan institusi pendidikan di Maghribi.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan program atau menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Hotline 019-6846296 atau berbuat demikian melalui akaun CIMB 8602399702 (YSNS – Dar Al Baidha’).


