Jika kebiasaanya roti jala sekadar hidangan sampingan kari, kali ini ia diangkat sebagai kanvas seni dan simbol perpaduan sempena Festival Cita Rasa Warisan.
Pertandingan Roti Jala Jelita Jalur Gemilang Gala, yang julung kali dianjurkan oleh Majalah RASA dengan sokongan Jabatan Warisan, berjaya mencuri perhatian pengunjung dengan persembahan penuh warna, rasa dan kreativiti.
Kejayaan acara sulung ini turut membawa rezeki buat Nadila Mohd Suhaimi, 35, dari Keramat, yang dinobatkan sebagai pemenang pertandingan yang berlangsung hari ini di Pentas Festival Cita Rasa Warisan, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Seorang penjual roti jala kecil-kecilan yang gemar bermain dengan dekorasi makanan, Nadila menceritakan bagaimana dia bangun seawal jam 6 pagi untuk menyiapkan bahan, sebelum hasil roti jalanya siap sepenuhnya sekitar jam 1.30 tengah hari.
“Tema Jalur Gemilang ni memang beri inspirasi. Saya cuba gabungkan elemen budaya dan nilai tambah dalam dekorasi. Bagi saya, ukiran itu tak susah sangat, cuma hiasan bunga yang ambil masa.
“Ini kali pertama saya sertai pertandingan seumpama ini. Saya jenis introvert, tapi saya anggap ini langkah berani untuk keluar dari kepompong. Kalau ada lagi pertandingan selepas ini, saya nak cuba lagi,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan roti jala secara dalam talian menerusi sosial medianya, @dapurkecilnad.

Nadila membawa pulang hadiah wang tunai RM800 selaku juara pertandingan manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang RM500 dan RM300.
Pertandingan tersebut turut diadili oleh Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara, Dr. Eyo Leng Yan.
Kreativiti bertemu tradisi
Menurut Managing Editor Majalah RASA, Emma Masri, pertandingan ini diadakan sebagai inisiatif untuk memeriahkan sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia dengan cara yang lebih kreatif dan dekat dengan rakyat.

“Roti jala jelita ini kita angkat sebagai simbol. Ia bukan sekadar cantik dipandang, tapi turut dinilai dari segi rasa kari dan tekstur roti jalanya.
“Pertandingan ini terbuka kepada semua pengikut RASA, tak kira bangsa, kerana makanan sepatutnya jadi jambatan perpaduan,” jelasnya.
Tambahnya, sebelum ini kebanyakan aktiviti RASA berbentuk CSR seperti projek bubur lambuk, tetapi kali ini pendekatan pertandingan diambil untuk memberi warna baharu.
Menariknya, selain roti jala jelita, festival ini juga menganjurkan pertandingan Roti Canai Melayang dan Teh Tarik King & Queen, menjadikan suasana lebih meriah dan pelbagai.
Di bawah payung Festival Budaya Malaysia
Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada kolaborasi RASA dengan Jabatan Warisan, di bawah Festival Budaya Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Dengan tema kari sebagai teras, penganjuran kali ini menampilkan RASA Layang Kari Fiesta yang menghimpunkan vendor dengan pelbagai jenis kari – daripada kari warisan yang digazetkan hingga ke kari viral gaya fusion.
Semuanya membuktikan bahawa makanan bukan sahaja warisan turun-temurun, tetapi juga medium yang sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman.
Lebih dari sekadar roti jala

Apa yang lebih istimewa, pertandingan ini tidak terhad kepada satu kaum atau kelompok sahaja. Malah ada peserta dari pelbagai latar belakang, termasuk masyarakat India, yang turut menyertai.
“Inilah semangat Malaysia – kita raikan budaya melalui makanan. Roti jala menjadi penghubung, sama seperti sukan dan seni yang menyatukan kita.
Festival ini juga menarik perhatian pelancong asing yang kagum melihat kepelbagaian budaya daripada makanan, pakaian tradisi, hinggalah gaya hidup masyarakat pelbagai etnik di Malaysia.
Pertandingan roti jala jelita bukan sekadar mengangkat menu klasik ke pentas utama, tetapi juga memberi ruang untuk bakat baharu seperti Nadila tampil dengan penuh keyakinan.
Ia membuktikan bahawa warisan makanan boleh terus hidup dengan sentuhan segar, sambil menjadi medium perpaduan sejati rakyat Malaysia.
Kenduri roti jala jadi tarikan pengunjung




Menambah lagi kemeriahan, acara ini turut dimeriahkan dengan Kenduri Roti Jala, di mana para pengunjung berpeluang menjamu selera dengan roti jala hasil tangan para peserta, lengkap dengan pelbagai jenis kari warisan dan moden.
Dari kari ayam klasik hingga kari fusion yang lebih kontemporari, setiap suapan membawa rasa unik yang bukan sahaja mengenyangkan, tetapi juga menghidupkan suasana muhibah dan perkongsian rezeki.


