KUALA LUMPUR – Kapten skuad bola keranjang Negeri Sembilan, Luke Jarrod Anthony mengingatkan rakan sepasukannya supaya tidak terlalu leka dengan kejayaan lalu, sebaliknya memberi sepenuh tumpuan terhadap cabaran sebenar yang bakal ditempuh dalam edisi ke-29 Kejohanan Kebangsaan MABA/Piala Matrix yang membuka tirainya semalam.
Luke menegaskan, walaupun skuad kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Chin Zhi Shin itu sudah mengecap tujuh gelaran berturut-turut, misi utama mereka masih belum selesai — iaitu menyamai rekod berprestij 10 kejuaraan berturut-turut yang sebelum ini pernah digenggam gergasi, PETRONAS.

“Memang kami bersyukur dan gembira dengan pencapaian tujuh gelaran itu. Tapi realitinya, misi kami belum selesai. Kami mahukan 10 (gelaran) berturut-turut. Itu sasaran kami dan semua pemain perlu terus kekal fokus.
“Belum masanya untuk kami terlalu bangga. Bila sampai 10 nanti, barulah kami boleh raikan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian kejohanan yang berlangsung malam tadi.
Negeri Sembilan tampil sebagai pasukan pilihan selepas turut menjuarai kategori 3 lawan 3 (3×3) minggu lalu apabila menewaskan Johor 21-8 dalam aksi final.

Sementara itu, Zhi Shin mengakui laluan mempertahankan kejuaraan dalam kategori 5 lawan 5 (5×5) musim ini lebih sukar, terutama selepas penganjur membenarkan penyertaan pemain berdarah kacukan dalam kejohanan.
“Memang cabaran kali ini lebih berat. Ada pasukan yang makin kuat. Jadi, kalau kami betul-betul mahukan gelaran, pemain kena bermain dengan lebih fizikal dan beri lebih tekanan dalam setiap perlawanan.
Zhi Shin
Untuk saingan kali ini, Negeri Sembilan diundi dalam Kumpulan A bersama Sabah, Johor, ATM, PDRM dan Kelantan, manakala Kumpulan B membabitkan Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah dan Terengganu.