KUALA LUMPUR, 11 September 2026 – Pertubuhan kemanusiaan Global Hayat bersama barisan sukarelawan Malaysia dari United Kingdom (UK) di bawah kempen Haqq Initiative kini sedang melaksanakan Misi Hayat Syam bermula 3 hingga 13 September 2026.
Misi khas ini bertujuan menyalurkan sokongan moral serta bantuan fizikal kepada rakyat Syria yang bergelut membina semula kehidupan pasca kemerdekaan, di samping menyantuni pelarian Palestin di Lubnan yang sekian lama berdepan krisis kelangsungan hidup.

Dipimpin seramai 12 orang wakil merangkumi empat wakil rasmi Global Hayat dan lapan sukarelawan UK, agihan bantuan disasarkan secara meluas ke sembilan buah lokasi utama merangkumi enam buah kem di Lubnan (El Buss, Burj Shemali, Rashidieh, Burj Barajneh, Shatila, Ein El Hilwah) dan tiga buah kem di Syria (Yarmouk, Asali, Homs).
Agihan bantuan fokus keperluan asas & pendidikan


Menerusi amanah para penyumbang, Misi Hayat Syam memfokuskan pendermaan keperluan asas, sokongan pendidikan, dan santunan anak-anak yatim:
| Jenis Bantuan | Sasaran / Skop Bantuan |
| Kotak Makanan | 600 kotak |
| Makanan Panas | 600 set |
| Pendidikan | 200 set beg sekolah & kelengkapan Back to School |
| Jamuan Khas | Bersama 200 orang anak yatim Syria dan Palestin |
| Sesi Ziarah | Menyantuni 20 orang anak yatim di bawah tajaan Global Hayat |
Bawa sinar harapan kepada 5,100 penerima manfaat

Secara keseluruhannya, pelaksanaan misi ini dijangka membawa manfaat dan sinar harapan baharu kepada sekurang-kurangnya 5,100 orang, merangkumi golongan anak-anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal, serta anak-anak para syuhada.
Ketua Pegawai Eksekutif Global Hayat merangkap Ketua Misi Hayat Syam, Muhd Farhan Muhd Fadhil, menegaskan bahawa kehadiran delegasi Malaysia ini membawa mesej solidariti yang cukup bermakna buat mereka yang terjejas.

“Kehadiran kami ini bukan sekadar membawa bantuan, tetapi sebagai mesej kepedulian dan kebersamaan kita dalam perjuangan membebaskan bumi Syam yang diberkati,” katanya dalam satu kenyataan media.
Misi ini membuktikan bahawa nasib pelarian Syria dan Palestin tetap mekar dalam hati rakyat Malaysia, seterusnya menjadi manifestasi sokongan berterusan terhadap isu kemanusiaan sejagat.


