PETALING JAYA, 10 Okt 2025 – Bersempena kempen Pink October, jenama penjagaan kulit terkemuka NIVEA kembali meneruskan inisiatif NIVEA Moments of CARE untuk tahun kedua dengan komitmen lebih besar terhadap perjuangan kesedaran kanser payudara.
Kempen ini diteruskan bersama rakan strategik Watsons Malaysia, di mana bagi setiap pembelian produk NIVEA bernilai RM20 di Watsons, RM1 akan disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA).
Tahun ini, kempen tersebut menyasarkan kutipan dana sebanyak RM50,000, dengan janji tambahan RM20,000 daripada NIVEA sebaik sahaja sasaran awal tercapai. Hasil kutipan akan disalurkan bagi menyokong usaha BCWA dalam meningkatkan kesedaran, pendidikan serta menyediakan perkhidmatan sokongan kepada pesakit dan komuniti.
Menurut Pengurus Negara Beiersdorf Malaysia & Singapura, Dr. Christopher Vierhaus, kempen ini mencerminkan nilai teras NIVEA iaitu CARE — kepedulian terhadap komuniti.

“Selepas kejayaan kempen tahun lalu, kami ingin memperluaskan impak positif ini kerana kesedaran serta pengesanan awal kanser payudara kekal penting. Di NIVEA, kami percaya setiap tindakan kecil mampu membawa perubahan besar kepada wanita dan keluarga mereka,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Watsons Malaysia dan COO Health & Beauty Asia Caryn Loh berkata kerjasama ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang dengan cara mudah dan bermakna.
“Setiap pembelian di Watsons kini bukan sekadar urusan membeli-belah, tetapi juga satu bentuk sokongan terhadap perjuangan wanita melawan kanser payudara,” katanya.
Kempen tahun ini turut diserikan dengan kisah inspirasi Salamiah Hassan, penyanyi legenda yang kini bergelar pejuang kanser payudara.
“Saya pernah abaikan tanda awal kerana menyangka ia perkara kecil. Tetapi bila ia semakin serius, barulah saya berjumpa doktor. Nasihat saya kepada semua wanita — jangan tunggu. Buat pemeriksaan segera kerana pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa,” pesan Salamiah dengan penuh makna.

Bengkel eksklusif percuma
Selain aktiviti kutipan dana, kempen NIVEA Moments of CARE 2025 turut menampilkan bengkel eksklusif ‘Senaman dalam Penjagaan Kanser’ yang dikendalikan oleh pakar perubatan serta saringan kanser payudara percuma untuk orang ramai.
Acara ini turut dimeriahkan oleh penyanyi dan pelakon Elyana Emrizal, yang kembali aktif dalam dunia seni selepas menamatkan rawatan kanser — simbol kekuatan dan ketabahan yang seiring dengan mesej kempen tahun ini.
Statistik menunjukkan kanser payudara kekal sebagai ancaman utama terhadap wanita Malaysia, merangkumi 32.1% daripada keseluruhan kes kanser wanita di negara ini, dengan lebih separuh dikesan pada peringkat lewat.
Justeru, kempen ini bukan sekadar kutipan dana, tetapi satu gerakan nasional untuk memperkukuh kesedaran tentang pentingnya pemeriksaan awal dan sokongan komuniti.
Sepanjang bulan Oktober, rakyat Malaysia diseru untuk menyertai kempen ini dengan berbelanja produk NIVEA di semua cawangan Watsons. Setiap pembelian bukan sekadar pelaburan untuk penjagaan diri, tetapi juga satu sumbangan bermakna untuk kesejahteraan wanita di seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen NIVEA Moments of CARE, layari www.nivea.com.my atau ikuti laman rasmi Facebook di facebook.com/mynivea.