KUALA LUMPUR, 11 Okt 2025 – Usahawan kosmetik, Ahmad Shah Rizal Ibrahim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau mengambil atau menyembunyikan wang tunai berjumlah RM1.3 juta milik arwah isterinya, usahawan kosmetik terkenal Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad.
Dalam satu kenyataan rasmi semalam, beliau menjelaskan tuduhan yang tular di media sosial selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu baru-baru ini adalah tidak benar dan mengelirukan.
“Wang tersebut merupakan hasil usaha bersama saya dan Allahyarhamah Faziani semasa hayatnya. Saya sendiri telah secara sukarela mengisytiharkan keberadaannya semasa mesyuarat keluarga selepas pemergian beliau,” katanya.
Menurut Ahmad Shah Rizal, beliau mengambil wang itu daripada peti simpanan di bilik mereka dengan disaksikan oleh wakil ahli keluarga, sebelum menyimpannya dalam akaun peribadi bagi tujuan keselamatan sementara.
Beliau menegaskan bahawa semua ahli keluarga mengetahui perkara itu dan bersetuju wang tersebut disimpan olehnya sehingga proses pembahagian pusaka selesai.
Katanya, beliau juga telah dilantik sebagai pentadbir pusaka bersama anak arwah, Mohamed Aqbar Hakim bin Jasman, melalui perintah mahkamah sejak 2021.
Pindahkan wang selepas terima perintah mahkamah
Menjelas lanjut, Ahmad Shah Rizal berkata beliau hanya menerima perintah rasmi bermeterai mahkamah pada 22 September lalu melalui peguam pihak keluarga Allahyarhamah.

“Sebagai menghormati keputusan mahkamah yang saya terima, saya telah memindahkan wang RM1.3 juta itu ke dalam akaun bank pentadbir pusaka dalam tempoh empat hari bekerja,” jelasnya.
Beliau menegaskan wang tersebut sentiasa selamat dalam simpanannya dan menolak tuduhan kononnya beliau “memakan harta anak yatim” atau melarikan hak waris.
“Tuduhan itu adalah fitnah dan tohmahan tidak berasas. Ia mula ditularkan sebelum saya sendiri menerima perintah rasmi mahkamah,” katanya lagi.
Ahmad Shah Rizal turut menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab yang boleh memesongkan fakta sebenar serta menjejaskan reputasi pihak terlibat dan integriti sistem kehakiman.
Ambil tindakan undang-undang kedua

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengesahkan telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan tindakan undang-undang kali kedua terhadap pihak-pihak yang didakwa menyebarkan tuduhan fitnah tersebut.
“Saya telah memfailkan saman fitnah terhadap beberapa pihak pada tahun 2022 dan kes itu telah selesai dibicarakan. Keputusan dijangka diketahui pada Januari 2026,” katanya.
Beliau menegaskan langkah serupa akan diambil bagi menghentikan mana-mana pihak daripada terus memanipulasi isu tersebut di media sosial untuk kepentingan peribadi atau promosi perniagaan.
“Perbuatan seperti ini tidak beretika, mengelirukan masyarakat dan menjejaskan proses keadilan,” ujarnya.
“Kebenaran akan terbukti”
Mengakhiri kenyataannya, Ahmad Shah Rizal menegaskan beliau menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT dan mahkamah untuk menegakkan keadilan.
“Saya percaya bahawa kebenaran akhirnya akan terbukti. Saya berharap selepas ini tiada lagi pihak menimbulkan isu berkaitan harta pusaka ini. Serahkan kepada mahkamah untuk memutuskannya,” katanya.