Putrajaya: Syarikat milik penuh bumiputera, VFive Group akan melebarkan sayap pada 2025 menerusi tiga sektor baharu iaitu pembangunan hartanah, konsesi dan tenaga boleh diperbaharui bermula tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasas VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, langkah itu seiring dengan cabaran dunia perniagaan pada masa kini yang memerlukan syarikat mempelbagaikan cabang perniagaan.
Katanya, VFive Group mula bertapak sejak 2012 dengan kepakaran dalam lima bidang iaitu pengiklanan; media dan pengurusan acara; General Trading, Service & Recruitment (GTSR); pengurusan kemudahan pembinaan; dan teknologi maklumat.
“Kami mengorak langkah progresif apabila melebarkan perniagaan dalam industri utama lain seperti sektor pembangunan hartanah, konsesi dan tenaga boleh diperbaharu.
“Langkah strategik ini adalah sebahagian daripada visi besar syarikat untuk terus berkembang dan mencipta impak meluas dalam sektor perniagaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Makan Malam Tahunan Vfive 2024 di sini.
Sedia bawa kepakaran sektor lain
Berdasarkan rekod kejayaan kukuh dalam bidang yang diceburi, VFive Group kini bersedia membawa kepakaran, inovasi dan kecekapan ke sektor lain.
Katanya, menerusi pendekatan berteraskan profesionalisme dan kualiti, VFive Group bercita-cita untuk menjadi peneraju dalam setiap industri yang diceburi, seiring dengan reputasi yang terus cemerlang.
Baca lagi: Pengasas VFive Group terima anugerah Alumni Muda Harapan UiTM
“Peluasan industri ini menunjukkan keberanian dan wawasan syarikat ini untuk merebut peluang baharu serta mempelbagaikan portfolio perniagaan.
“Langkah yang dilakukan ini bukan sahaja memberi peluang kepada kakitangan untuk memperkasakan kemahiran mereka, malah dapat membuka lebih banyak ruang dan peluang yang menjamin masa depan,” katanya.
Tingkat dana CSR 2025
Sementara itu katanya, pada tahun ini, syarikat menyediakan sejumlah peruntukan terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menjaga kebajikan dan seterusnya membantu masyarakat yang kurang berkemampuan dan memerlukan.
“Dana terbabit sudah digunakan untuk pelbagai inisiatif, termasuk bantuan kewangan, pendidikan, kesihatan, serta program kebajikan lain yang memberi impak positif kepada masyarakat dan jumlah peruntukan ini akan sentiasa ditingkatkan setiap tahun,” katanya.
Inisiatif yang dilakukan, dikendalikan menerusi Yayasan VFive termasuk Program Kembara Beras Amal, Berkat Jumaat, Gerobok Rezeki, Sumbangan Bakul Makanan dan pelbagai lagi program pembangunan modal insan komuniti untuk mereka yang kurang berkemampuan.


