Jenama terkemuka dari Sweden, Thule, sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global barangan gaya hidup aktif dengan penganjuran acara berprestij Thule Expo 2026 yang berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Tarikan utama majlis kali ini difokuskan kepada pelancaran dan demonstrasi secara langsung barisan produk keselamatan kanak-kanak serta koleksi kerusi keselamatan bayi (car seat) terbaharu yang dinanti-nantikan — iaitu Thule Maple, Thule Elm dan Thule Palm.
Inovasi mesra keluarga
Berbeza daripada pameran statik biasa, majlis yang penuh bertenaga ini memperlihatkan bagaimana ekosistem mobiliti keluarga Thule menyatu secara lancar dengan rutin harian dan gaya hidup aktif ibu bapa moden.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Naib Presiden Jualan Thule, Daniel Larsson, bersama wakil-wakil pengurusan rantau Asia Pasifik. Acara diteruskan dengan demonstrasi interaktif yang dipimpin oleh Pengurus Produk Thule, Ahmad Mansouri.
Dalam sesi demonstrasi tersebut, para tetamu diperlihatkan kebolehan car seat Thule yang boleh dipindahkan dari dalam kenderaan ke sistem kereta sorong (stroller) secara pantas dan mudah — menekankan ciri ergonomik, tahap keselamatan tertinggi, serta keselesaan maksimum.

Tiga barisan ‘car seat’ generasi baharu Thule
Fokus utama Thule Expo 2026 menyaksikan pengenalan tiga model kerusi keselamatan kanak-kanak yang direka mengikut peringkat tumbesaran anak:
1. Thule Maple (Bayi Baru Lahir)
Direka khas untuk bayi baru lahir (newborn) dan bayi kecil, Thule Maple menawarkan penarafan keselamatan cemerlang dengan ciri keselesaan yang boleh dibaringkan (reclinable). Kerusi ini serasi dan boleh dipadankan secara terus (seamless compatibility) dengan barisan kereta sorong (stroller) Thule.
2. Thule Elm (Kanak-Kanak / Toddler)
Kerusi keselamatan toddler premium dengan fungsi putaran 360° ini direka untuk kegunaan jangka panjang. Ia menyokong kedudukan mendatar ke belakang (extended rear-facing) serta pelbagai posisi kecondongan bagi memudahkan rutin harian keluarga yang sedang membesar.
3. Thule Palm (Booster Seat i-Size)
Dibina di atas falsafah “keselesaan adalah keselamatan”, Thule Palm ialah high-back booster seat standard i-Size. Ia dilengkapi laluan tali pengikat intuitif, kestabilan ISOFIX, dan reka bentuk yang dioptimumkan supaya muat sehingga tiga kerusi serentak di barisan kerusi belakang kenderaan.


