HERITAGE Run 2025 anjuran Alliance Bank Malaysia Berhad mencipta rekod baharu apabila menarik penyertaan 5,500 peserta, sekali gus mengatasi jumlah tahun lalu dan membuktikan popularitinya kian meningkat.
Edisi kali ini lebih istimewa dengan pengenalan kategori separuh maraton sejauh 21 kilometer yang menawarkan cabaran baharu buat pelari berpengalaman.

Dianjurkan dengan sokongan Pejabat EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang (PETACE), larian itu turut mempromosikan negeri berkenaan sebagai hab pelancongan sukan dan warisan hidup.
Berlatar belakang keindahan tapak Warisan Dunia UNESCO di George Town, peserta menyertai empat kategori – 21km, 12km, 7km dan 3km – yang direka untuk menarik penyertaan daripada semua peringkat umur.


Kejohanan ini bukan sekadar tentang larian, malah mengangkat semangat kesihatan, perpaduan komuniti dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Pelari Kenya, David Kibet muncul juara kategori lelaki 21km manakala Ong Ee Ling menjuarai kategori wanita, masing-masing membawa pulang pingat penamat dan hadiah wang tunai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, kejayaan penganjuran itu membuktikan komitmen bank dalam membina komuniti mampan dan memelihara warisan budaya George Town.
Heritage Run turut menampilkan bazar #SupportLokal, aktiviti mural interaktif serta penggunaan bahan lestari seperti lanyard kitar semula dan medal buluh, menjadikan acara ini bukan sahaja meriah tetapi juga mesra alam.


