Platform penstriman tempatan, UTV melakar satu lagi pencapaian penting dalam industri hiburan digital apabila secara rasmi melancarkan saluran TV Digital yang kini boleh diakses menerusi semua peranti Android TV.
Langkah strategik ini menandakan transformasi besar UTV dalam memperluaskan capaian penonton, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai platform Over-the-Top (OTT) tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Datuk Seri Dr. Hasan atau lebih dikenali sebagai Datuk Nana pada Majlis Seri Syawal Usanita 2026 yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut beliau, keputusan memperluaskan akses ke Android TV dibuat susulan sambutan luar biasa terhadap aplikasi UTV di peranti mudah alih dan desktop.
Pengalaman tontonan ‘pawagam peribadi’
“UTV kini boleh ditonton di TV seperti OTT lain. Ia bukan saluran TV, tetapi aplikasi seperti platform penstriman antarabangsa. Pengguna hanya perlu membuka Android TV dan boleh menikmati kandungan seperti pawagam peribadi di rumah,” katanya.
Tambah beliau, pengalaman tontonan di skrin besar memberi nilai tambah kepada pengguna yang ingin menikmati kandungan secara lebih santai bersama keluarga.
UTV terus mengekalkan identiti sebagai platform hiburan ‘feel good’ dengan fokus terhadap genre romantik komedi yang ringan dan menghiburkan.
Sehingga kini, hampir 30 telefilem baharu termasuk siri UTV Nusantara boleh ditonton, yang menampilkan gabungan pelakon Malaysia dan Indonesia bagi menghasilkan kandungan lebih segar dan relevan kepada penonton serantau.

“Kadang-kadang orang penat dengan kerja harian. Bila menonton cerita ringan, ia boleh beri rasa tenang dan gembira,” ujar beliau.
Rekod 30 juta tontonan keseluruhan
UTV turut mencatat pencapaian memberangsangkan dengan lebih 30 juta tontonan secara keseluruhan sejak diperkenalkan.
Antara kandungan paling berjaya ialah telefilem Postkad Cinta Dari Auckland lakonan Fattah Amin dan Amira Othman yang meraih lebih 20.1 juta tontonan, sekali gus menjadi antara karya tempatan paling popular di platform tersebut.
Kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pengembangan UTV ke platform televisyen digital.


UTV mengekalkan model perniagaan “pay-per-content”, di mana pengguna hanya perlu membayar kandungan yang ingin ditonton tanpa komitmen langganan bulanan.
Pendekatan ini dilihat lebih fleksibel dan mesra pengguna, khususnya bagi mereka yang ingin mengawal perbelanjaan hiburan digital.
Bakal terbit filem menjelang 2027
Dalam perkembangan sama, UTV turut merancang untuk mengembangkan sayap ke industri perfileman dengan sasaran menerbitkan filem layar perak menjelang tahun 2027.
Projek tersebut dijangka melibatkan pelakon gred A serta personaliti berpengaruh, sekali gus mengukuhkan aspirasi UTV sebagai peneraju kandungan hiburan serantau.

Aplikasi UTV kini boleh dimuat turun melalui App Store bagi pengguna iOS dan Play Store untuk pengguna Android, selain tersedia di Android TV untuk pengalaman tontonan lebih imersif.
Pelancaran ini mencerminkan evolusi pesat industri hiburan digital tempatan, sekali gus mengangkat UTV sebagai jenama yang komited dalam menyediakan kandungan berkualiti tinggi untuk penonton Malaysia dan serantau.


