CARACAS: Pemangku Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez, mengisytiharkan darurat di seluruh negara serta-merta susulan kejadian dua gempa bumi kuat berturut-turut yang menggegarkan negara Amerika Selatan itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 32 nyawa dan mencederakan beratus-ratus yang lain.
Langkah luar biasa itu diambil bagi membolehkan aset ketenteraan dan agensi menyelamat digerakkan sepenuhnya selepas rantaian gempa bumi berkenaan mengakibatkan banyak bangunan runtuh termasuk di ibu negara, Caracas, sekali gus melumpuhkan infrastruktur utama.

Kesan daripada pengisytiharan darurat tersebut, Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar di Caracas ditutup sepenuhnya kepada semua penerbangan komersial ekoran kerosakan struktur yang teruk, sekali gus memotong laluan udara utama negara itu.
Gegaran selang seminit cetus panik
Menurut laporan Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), bencana tersebut dicetuskan oleh gempa pertama bermagnitud 7.2 yang melanda kawasan barat Moron, kira-kira 168 kilometer di barat ibu negara. Hanya selang seminit kemudian, gegaran kedua yang lebih kuat bermagnitud 7.5 melanda kawasan yang sama, memburukkan lagi impak kemusnahan.

USGS turut mengeluarkan amaran tahap tinggi dengan menyatakan bahawa bencana ini dijangka membawa implikasi yang sangat luas, selain jangkaan peningkatan mendadak jumlah mangsa yang terkorban.
Di bawah perintah darurat ini, hospital-hospital di seluruh negara diletakkan dalam mod kesiapsiagaan tertinggi bagi mengendalikan ratusan mangsa yang cedera.
Pihak berkuasa kini menumpukan usaha sepenuhnya kepada operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan komersial dan kediaman. -ALJAZEERA


