Kemerdekaan sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi merangkumi jaminan keselamatan sosial yang kukuh untuk seluruh rakyat.
PERKESO bukan sahaja wujud dengan amanah besar untuk memastikan setiap pekerja terus dilindungi dan setiap keluarga mempunyai jaringan keselamatan, malah memastikan setiap rakyat yang diuji diberikan peluang untuk bangkit semula.
Sempena Hari Kebangsaan ke-69, perarakan kereta berhias “PERKESO LINDUNG Semua” mengangkat simbolik perjalanan rakyat Malaysia – daripada ditimpa musibah, melalui proses rehabilitasi hingga mampu kembali berdikari.
Dapat dilihat kesungguhan PERKESO bagi mencipta magis tersendiri apabila diberi penghormatan menerajui Kontinjen Komponen Ekonomi dalam perbarisan dan perarakan di Dataran Putrajaya, hari ini.
Penghormatan istimewa itu memperlihatkan bahawa di sebalik kemajuan ekonomi negara, wujud amanah besar untuk memastikan setiap pekerja terus dilindungi, setiap keluarga mempunyai jaringan keselamatan dan setiap rakyat yang diuji diberikan peluang untuk bangkit semula.
Perlindungan musibah: bukti keperihatinan majikan
Kepentingan caruman majikan terserlah menerusi kisah Khairul Azmir, bekas pengurus besar kepada penyanyi tersohor negara, Dato‘ Sri Siti Nurhaliza Tarudin.
Apabila diuji penyakit buah pinggang kronik dan strok hingga menjejaskan keupayaan bekerja, caruman sewaktu sihat menjadi penyelamat.
Pada Mei 2024, Dato‘ Sri Siti Nurhaliza bersama PERKESO menyampaikan Pencen Ilat berjumlah RM3,027.92 sebulan kepada beliau, membuktikan jaminan kewangan sentiasa sedia ada apabila punca pencarian terjejas.
Sinar harapan di sebalik tragedi
PERKESO turut hadir mendampingi keluarga pencarum ketika negara berduka:
- Tragedi Pesawat Elmina (17 Ogos 2023): Waris kepada seorang penghantar makanan yang terkorban menerima pencen bulanan PERKESO sebanyak RM1,894.75.
- Tragedi Malaysia Airlines MH17 (Julai 2014): PERKESO memastikan waris yang layak menerima perlindungan menerusi pencen bulanan serta Faedah Pengurusan Mayat.
Meskipun bantuan kewangan tidak dapat menggantikan nyawa, jaringan keselamatan ini membantu meringankan beban dan memberi ruang kepada keluarga untuk meneruskan kehidupan.
Mengisi erti kemerdekaan hakiki
Kesemua kisah ini membawa satu mesej penting: perlindungan sosial bukan sekadar bayaran faedah, tetapi sebuah amanah untuk memelihara maruah dan masa hadapan negara.
Penyertaan PERKESO dalam perbarisan Hari Kebangsaan ke-69 memperkukuh komitmen untuk memperluas jaringan perlindungan agar tiada pekerja dan keluarga yang tercicir.
Selaras dengan semangat kemerdekaan, PERKESO percaya bahawa rakyat yang benar-benar merdeka ialah rakyat yang mempunyai perlindungan, berupaya bangkit selepas diuji, serta diberikan peluang untuk kembali bekerja, menyara keluarga, dan menjalani kehidupan dengan bermaruah.


