Bagi pengembara Muslim, kemudahan ruang solat yang bersih dan kelengkapan ibadah yang selesa merupakan elemen penting yang mampu menjadikan perjalanan jauh terasa lebih tenang dan bermakna.
Menyedari keperluan tersebut, jenama kelengkapan ibadah terkemuka tanah air, Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd. (Siti Khadijah) secara rasmi memeterai perjanjian penajaan bersama Malaysia Airports bagi mempertingkat kemudahan ibadah untuk para penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) Terminal 1.
Sentuhan Eksklusif Bermula di Surau Anjung Tinjau
Menerusi perjanjian penajaan selama setahun yang dimeterai pada 11 November lalu, kelengkapan ibadah keluaran Siti Khadijah akan dibekalkan ke surau-surau di KLIA Terminal 1 secara berperingkat.
Inisiatif ini memulakan langkah pertamanya di Surau Anjung Tinjau KLIA Terminal 1, merangkumi penambahbaikan rak paparan serta kemudahan surau yang diserikan dengan elemen identiti jenama Siti Khadijah.

Menariknya, penajaan ini bukan sahaja memfokuskan kepada jemaah wanita, malah turut memberi perhatian khusus kepada keselesaan jemaah lelaki menerusi rangkaian produk berkualiti tinggi:
- Telekung Modish Zaila: Direka khusus dengan sulaman renda halus berinspirasikan motif mushaf untuk memberikan keselesaan optimum buat jemaah wanita.
- Pelikat Rena An-Nafees (Koleksi TEMAN): Menampilkan tekstur jacquard moden dengan motif tenunan berinspirasikan era Renaissance buat kegunaan jemaah lelaki.
- Sejadah Hazrat Carpet: Hadir dengan tekstur lembut serta material tahan lasak yang praktikal untuk kegunaan harian para musafir.
Ibadah Selesa sebagai Sebahagian Pengalaman Perjalanan
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd., Mohammad Munzir Aminuddin, kerjasama strategik ini membuka ruang buat jenama tempatan tersebut mendekati masyarakat dalam situasi yang paling diperlukan ketika bermusafir.
“Perjalanan sering membawa kita ke pelbagai destinasi, namun keperluan untuk menunaikan solat tetap menjadi sebahagian daripada rutin seorang Muslim. Melalui inisiatif penajaan ini, kami berpeluang menyediakan kelengkapan ibadah Siti Khadijah di surau-surau KLIA Terminal 1 agar penumpang dapat menunaikan solat dengan lebih selesa sebelum meneruskan perjalanan,” jelas beliau.
Jaminan Kebersihan & Penjagaan Berkala
Bagi memastikan setiap pengunjung menikmati pengalaman yang memuaskan, aspek kebersihan dan penyelenggaraan turut menjadi keutamaan pihak pengurusan lapangan terbang.
Pengurus Besar Kanan, Pengalaman Penumpang dan Operasi KLIA, Abd Hasman Abd Muhimim berkata, selain memastikan fasiliti berada dalam keadaan terjaga, pihak Malaysia Airports memastikan telekung dicuci sekurang-kurangnya dua kali seminggu demi menjamin kebersihan dan keselesaan pengguna.
“Usaha meningkatkan pengalaman penumpang di KLIA bukan hanya tertumpu kepada kemudahan dan kecekapan operasi, tetapi turut merangkumi aspek keselesaan dan keperluan mereka sepanjang berada di lapangan terbang. Kami amat menghargai sokongan Siti Khadijah sebagai jenama tempatan yang turut berkongsi tanggungjawab dalam memberikan pengalaman yang baik kepada pengunjung pintu masuk utama Malaysia,” katanya.
Sebagai langkah seterusnya, kemudahan kelengkapan ibadah eksklusif ini akan diperluaskan secara berperingkat ke beberapa lagi surau utama di sekitar KLIA Terminal 1, sekali gus mengukuhkan lagi reputasi Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim terkemuka dunia.


