SEREMBAN, 25 November 2026 – Golongan rentan termasuk ibu tunggal, suri rumah serta orang kurang upaya (OKU) di negeri ini terus diperkasakan menerusi penganjuran kursus jangka pendek kemahiran pembuatan beg kendalian GIATMARA di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Program Latihan Kemahiran Golongan Rentan (Short Course Training – SCT) selama lima hari yang merangkumi kira-kira 40 jam latihan praktikal dan teori itu dirangka khusus bagi membantu peserta yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menjana ekonomi sendiri dari rumah.



Timbalan Pengarah GIATMARA Negeri Sembilan, Mohd Zairin Mohamad Yunus berkata, program berkenaan disertai 10 peserta terpilih yang memiliki asas jahitan dengan memberi fokus kepada penghasilan pelbagai rekaan beg bernilai komersial termasuk tote bag dan clutch bag.
“Program ini bukan sekadar bertujuan memberikan kemahiran baharu, malah membuka peluang kepada peserta untuk mengembangkan bakat sedia ada kepada produk yang mempunyai nilai pasaran.
“Kemahiran menghasilkan beg mempunyai potensi tersendiri dan sangat sesuai dijadikan sumber pendapatan sampingan, khususnya buat golongan wanita yang terikat dengan komitmen keluarga atau pekerjaan lain,” katanya ketika ditemui di GIATMARA Seremban, semalam.
Bantuan Peralatan, Elaun & Pemasaran Berasaskan AI

Menurut Mohd Zairin, pemilihan peserta dilaksanakan di peringkat pusat berdasarkan kelayakan permohonan dengan memberi keutamaan kepada individu tidak bekerja, suri rumah dan golongan OKU.
Bagi meringankan beban dan memudahkan permulaan perniagaan kecil-kecilan, setiap peserta turut menerima elaun sebanyak RM400 berserta kelengkapan asas seperti alat penekap butang dan seterika.
Sementara itu, tenaga pengajar program, Nuraini A Jalil memaklumkan peserta berpeluang mempelajari teknik menghasilkan sehingga lima jenis beg berbeza sepanjang tempoh lima hari bergantung kepada tahap penguasaan masing-masing.

Menariknya, modul latihan ini tidak terhad kepada kemahiran teknikal semata-mata, sebaliknya turut mendedahkan peserta kepada strategi pemasaran digital termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) pada hari keempat kursus bagi mencipta poster promosi menarik di platform WhatsApp dan TikTok.
“GIATMARA turut merancang melaksanakan pemantauan selama tiga bulan selepas kursus tamat bagi menilai perkembangan peserta serta keupayaan mereka menjana pendapatan. Malah, hampir 80 peratus peserta siri latihan terdahulu berjaya menjadikan kemahiran ini sebagai punca rezeki,” jelasnya.
Selain bimbingan keusahawanan susulan, pihak GIATMARA juga meneliti inisiatif membantu mempromosikan produk peserta di media sosial serta menempatkannya di premis usahawan bersesuaian bagi merancakkan lagi tempahan.
Suntik Semangat Baharu Buat Peserta

Bagi seorang peserta yang juga ibu tunggal, Siti Hajar Hashim, 60, peluang menyertai kursus berkenaan disifatkan amat bermakna dalam usaha menambah kemahiran serta menjana pendapatan sampingan.
“Saya amat menyokong program sebegini diperluaskan kerana ia sangat menyeronokkan dan praktikal. Selepas tamat latihan ini, saya berhasrat mengiklankan hasil jahitan beg ini serta mula mengambil tempahan mengikut cita rasa pelanggan,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sandaran, Wardatul Muhaijah Basir yang melihat kursus jangka pendek itu sebagai platform terbaik mencungkil kemahiran baharu demi mengukuhkan ekonomi diri, sekali gus berhasrat menyertai kursus kemahiran lain pada masa hadapan.
Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai tawaran kursus jangka pendek GIATMARA boleh melayari laman web rasmi di giatmara.edu.my.


