Jenama penjagaan kulit tempatan, Bartech Beautee, merancang memperluaskan pasaran ke peringkat Asia dengan menyasarkan Singapura, Indonesia dan Brunei sebagai antara destinasi utama dalam strategi pengembangan perniagaannya.
Pengasas Bartech Beautee, Nurul Adlinna Mohammad Bakri atau lebih mesra disapa Kak Lin berkata, perancangan itu hadir selepas jenama berkenaan berjaya meraih dua pengiktirafan membabitkan anugerah Superbrands Malaysia’s Choice 2026 dan Nona Gala Awards 2026 yang disifatkan sebagai pencapaian penting dalam membina keyakinan pengguna terhadap produk keluarannya.
Menurutnya, pengiktirafan daripada Nona Gala Awards 2026 menerusi kategori pigmentasi dan melasma (Nona Excellence in Pigmentation & Melasma Care Award), selain pencapaian Superbrands, menjadi dorongan untuk syarikat terus memperkukuh kedudukan dalam industri kecantikan.
”Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada jenama, tetapi juga satu usaha untuk meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap produk kami.
”Pengiktirafan seperti Superbrands bukan mudah diperoleh. Kami pernah mencuba dua tahun lalu, namun tidak berjaya. Alhamdulillah, tahun ini Bartech Beautee akhirnya mendapat pengiktirafan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian anugerah berkenaan, baru-baru ini.
Lonjakan Jualan 200 Peratus & Lebih 300,000 Testimoni
Mengulas perkembangan perniagaan, beliau berkata, Bartech Beautee turut mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 200 peratus pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya. Malah, syarikat itu sudah mencapai rekod jualan keseluruhan tahun lalu meskipun 2026 masih belum berakhir.

Katanya, Bartech Beautee juga berjaya mengumpulkan lebih 300,000 testimoni pengguna sehingga November ini, sekali gus mencerminkan penerimaan positif terhadap rangkaian produk penjagaan kulit keluarannya.
Dalam usaha memperkukuh penawaran produk, Bartech Beautee merancang memperkenalkan rangkaian penjagaan kulit yang lebih lengkap dengan tumpuan khusus kepada masalah pigmentasi dan jeragat.
Inovasi Bartech AI Mudahkan Analisis Kulit Secara Dalam Talian
Ketua Pegawai Operasi Bartech Empire Sdn. Bhd., Shaharuddin Abdul Karim menambah, antara produk mereka, krim gel whitening yang mendapat sambutan tinggi sehingga stok jualan paling laris dijual.
”Bartech Beautee sedang memberi perhatian kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi sistem laman web Bartech AI yang membolehkan pengguna membuat analisis keadaan kulit wajah secara dalam talian.
”Laman web ini telah pun mula dilayari oleh pengguna dan setakat ini merekodkan sebanyak 5,000 data imbasan wajah pengguna secara dalam talian dan ini sekali gus memudahkan orang ramai mengetahui kondisi kulit mereka tanpa perlu mengeluarkan kos tinggi untuk mendapatkan khidmat penilaian di klinik estetik,” jelasnya.
Tambahnya lagi, sistem berkenaan membolehkan pengguna mengimbas wajah untuk mengenal pasti keadaan kulit sebelum menerima cadangan produk yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
Sementara itu, Kak Lin menjelaskan matlamat mereka bukan sekadar menjual produk, sebaliknya memastikan pengguna mendapatkan produk yang benar-benar bersesuaian dengan keadaan kulit mereka.
Beliau berkata, jualan melalui sistem berkenaan turut menunjukkan perkembangan apabila mencatatkan peningkatan tiga kali ganda pada bulan ini berbanding bulan sebelumnya.
Perkukuh Pemasaran Digital & Kerjasama Agensi Kerajaan
Dalam perkembangan sama, syarikat itu turut merancang memperkukuh strategi pemasaran digital menerusi kerjasama lebih erat dengan platform TikTok, selain mempelbagaikan saluran jualan melalui laman web rasmi dan platform lain.
Pengguna yang membuat pembelian berulang juga digalakkan mendapatkan produk menerusi laman web rasmi syarikat bagi menikmati harga lebih menjimatkan berbanding pembelian melalui platform e-dagang lain.
Bartech Beautee turut merancang menambah baik formulasi produk sedia ada bagi memberikan nilai lebih baik kepada pengguna, selain menghasilkan rangkaian baharu dengan keberkesanan yang lebih optimum.
Kak Lin turut menambah, pihaknya menyasarkan untuk menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada tahun depan bagi membuka lebih banyak peluang pengembangan perniagaan.
Dalam pada itu, Bartech Beautee turut merancang memperkenalkan produk kosmetik pada masa hadapan dengan memberi perhatian kepada keperluan pengguna yang mempunyai masalah kulit sensitif dan pigmentasi.
Bagaimanapun, pembangunan produk berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat selepas melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk mengambil kira permintaan pengguna.
Kempen ‘Cantik Sebelum Raya’ & Tajaan Umrah Pelanggan
Menjelang Ramadan dan Aidilfitri, Bartech Beautee turut merancang melaksanakan kempen bertemakan kecantikan kulit dengan konsep ‘Cantik Sebelum Raya’ bagi menggalakkan pelanggan berkongsi perjalanan penjagaan kulit masing-masing.
Menerusi kempen itu, pengguna akan dijemput menghasilkan video yang memaparkan pengalaman dan perubahan kulit mereka sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kulit.
Selain strategi perniagaan, Bartech Beautee turut merancang menaja sekurang-kurangnya dua pelanggan terpilih untuk menunaikan umrah pada Jun tahun depan sebagai penghargaan terhadap sokongan dan kepercayaan pengguna.
”Kejayaan meraih dua pengiktirafan berkenaan adalah hasil komitmen seluruh pasukan yang bekerja keras membangunkan jenama itu sejak awal penubuhannya dan ini merupakan motivasi bagi kami dan team untuk lebih bersemangat selepas ini,” ujar Kak Lin.
Fokus utama Bartech Beautee sejak awal bukanlah mengejar anugerah, sebaliknya membantu wanita yang berdepan masalah jeragat dan pigmentasi mendapatkan semula keyakinan diri.


